Keluarga Glazer enggan jual Man United

London: Pemilik Manchester United, keluarga Glazer tidak mahu menjual kelab Liga Perdana Inggeris itu, menurut jutawan Britain, Jim Ratcliffe.

Seorang peminat setia United, Ratcliffe yang memiliki kumpulan kimia Ineos, berminat untuk membeli kelab Old Trafford itu selepas usahanya gagal untuk mengambil alih Chelsea awal tahun ini.

Terdapat laporan bahawa keluarga Glazer mungkin bersedia mempertimbangkan untuk menjual United selepas penyokong semakin berang sepanjang pemilikan mereka yang bermasalah.

Ratcliffe mendedahkan pemilik dari Amerika itu memberitahunya United bukan untuk dijual.

“Manchester United dimiliki oleh keluarga Glazer, yang saya temui,” kata Ratcliffe pada persidangan Financial Times Live.

“Saya bertemu dengan Joel dan Avram, dan mereka adalah orang yang baik. Mereka tidak mahu menjualnya (United).

“Sekiranya ia dijual pada musim panas, ya kami mungkin akan mencuba selepas usaha membeli Chelsea, tetapi kami tidak boleh duduk berharap satu hari nanti Manchester United bersedia untuk dijual.”

Kumpulan Ineos milik Ratcliffe sudah memiliki kelab Perancis, Nice dan kelab Switzerland, Lausanne.

Mengenai prospek pelaburan di tempat lain, Ratcliffe berkata: “Sukan paling popular di dunia ialah bola sepak, dan ia adalah sukan yang paling dekat dengan kami, jadi kami sepatutnya mempunyai aset di Liga Perdana.”

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker