Lebih 3,500 polis ditugaskan sepanjang PRU-15 di Kedah

Alor Setar: Lebih 3,500 daripada 5,139 anggota polis Kontinjen Negeri Kedah ditugaskan sepanjang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) bagi memastikan keselamatan dan proses pengundian berjalan dengan lancar.

Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad berkata pihaknya juga akan memohon elemen bantuan daripada Bukit Aman bagi membantu anggota sedia ada di negeri ini.

“Di Kedah, kita ada kekuatan seramai 5,139 anggota tetapi tidak boleh digunakan semua kerana ada tugasan yang lain juga. Hanya lebih 3,500 anggota yang ditugaskan sepanjang PRU nanti selain bantuan tambahan lebih 1,000 anggota dari Bukit Aman.

“Selain itu, kita turut mendapat bantuan daripada Pusat Latihan Polis (PULAPOL), sukarelawan polis dan agensi lain antaranya Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA). Jadi, keseluruhan akan ada lebih 6,000 anggota yang akan terbabit dalam pilihan raya kali ini,” katanya ketika diminta mengulas mengenai persiapan Polis Kedah untuk menghadapi PRU-15.

Terdahulu, beliau menghadiri sidang media majlis pelupusan barang kes dadah di Dataran Kawad Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah yang turut dihadiri Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Mohd Roze Shaari.

Wan Hassan berkata pelbagai jenis dadah antaranya syabu, heroin dan ketum yang bernilai lebih RM1 juta akan dimusnahkan esok oleh syarikat yang berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker