Lelaki lebih cepat nampak tua berbanding wanita

HELSINKI, Finland – Pakar-pakar kesihatan dari Universiti Jyväskylä di Finland menyatakan bahawa golongan lelaki lebih cepat berusia berbanding wanita, lapor portal berita MailOnline kelmarin.

Mereka yang merupakan penyelidik anti penuaan berkata, lelaki berusia dalam lingkungan l50-an, secara purata adalah empat tahun lebih tua daripada wanita berdasarkan sudut biologi.

Kajian kadar penuaan itu turut mendedahkan bahawa jurang tersebut sudah wujud sejak usia 20-an lagi.

Dalam kajian itu, saintis-saintis membandingkan kronologi usia beribu-ribu sukarelawan berdasarkan tarikh lahir sebenar berbanding usia biologimereka.

Ini dilakukan menerusi siri ujian yang menganggarkan penurunan fungsi tubuh berlaku berdasarkan penanda halus yang melekat pada asid deoksiribonukleik (DNA) manusia.

Walaupun kajian itu mendedahkan jurang penuaan antara lelaki dan wanita, pasukan saintis terbabit percaya bahawa perbezaan itu semakin mengecil dari semasa ke semasa.

Ini kata mereka, berlaku mungkin disebabkan oleh kadar merokok yang semakin berkurangan dalam kalangan lelaki.

Jumlah lelaki merokok di Finland menurun daripada 37 peratus pada tahun 1970-an kepada 17 peratus sekarang, manakala kadar perokok tetap sama pada wanita iaitu sekitar 15 peratus.

Kiraan indeks jisim badan (BMI) adalah satu lagi faktor utama di sebalik perbezaan penuaan dari segi jantina, kata pasukan saintis Universiti Jyväskylä.

Selain lebih cepat berusia, lelaki juga cenderung memiliki berat badan berlebihan berbanding wanita.

Penemuan yang diterbitkan dalam The Journals of Gerontology: Siri A itu boleh membantu menjelaskan mengapa wanita cenderung hidup lebih lama berbanding lelaki.

Wanita di Britain mempunyai jangka hayat 83 tahun berbanding hanya 79 tahun untuk lelaki.

Di Amerika Syarikat pula, wanita cenderung untuk hidup sekitar lima tahun lebih lama iaitu sehingga 80 tahun.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker