PKR akan muktamadkan senarai calon sebelum 20 Oktober

SHAH ALAM – Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan memuktamadkan calon-calon bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum mesyuarat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 20 Oktober ini.

Timbalan Presidennya, Rafizi Ramli berkata, parti itu kini sedang menapis dan memberi pemarkahan awal supaya semua calon-calon berpotensi dapat dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Calon pada Rabu ini.

“Mengambil kira sentimen pengundi yang menuntut mutu calon yang lebih baik dari parti-parti yang bertanding, PKR memperkenalkan proses saringan dan penilaian calon yang lebih telus, seragam, objektif dan demokratik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Rafizi, penapisan dan pemarkahan calon-calon parti itu mengambil kira 30 peratus kekuatan jentera pilihan raya yang telah dibina dan prestasi kempen lapangan untuk memenangi pengundi.

“Manakala 20 peratus pula melibatkan keterampilan dan kesesuaian menjadi wakil rakyat dengan mengambil kira latar pendidikan, kelayakan dan pengalaman profesional, kepakaran yang boleh menyumbang nilai tambah kepada keberkesanan sebagai wakil rakyat dan kewibawaan peribadi.

“20 peratus lagi adalah sumbangan kepada masyarakat di luar politik dalam pelbagai bentuk termasuk kerja-kerja sukarelawan, pakar dalam industri dan bidang tertentu, kepimpinan badan bukan kerajaan (NGO) dan seumpamanya,” katanya.

Rafizi berkata, pemarkahan selebihnya adalah melibatkan tahap capaian calon tersebut di media sosial dalam berkomunikasi dan menyebarkan maklumat kepada orang ramai.

“Saya berpendapat tumpuan rakyat untuk membezakan parti-parti yang bertanding dalam PRU15 adalah kepada kewibawaan, kepelbagaian, kemahiran profesional dan kesesuaian calon-calon yang diketengahkan,” katanya.

© Sinar Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker