Rudiger bawa Madrid ke kelompok kalah mati

WARSAW: Real Madrid mara ke kelompok 16 terakhir Liga Juara-Juara selepas seri 1-1 berdepan Shakhtar Donetsk di Warsaw awal pagi tadi.

Antonio Rudiger menanduk masuk pada penghujung aksi untuk menyamakan kedudukan dan memberikan juara bertahan itu laluan ke peringkat kalah mati.

Skuad dari Ukraine itu yang beraksi dekat Poland kerana pencerobohan Russia ke atas Ukraine, menampilkan aksi terbaik dengan mendahului menerusi Oleksandr Zubkov pada awal babak kedua.

Ia tampak seperti Madrid akan mengalami kekalahan pertama musim ini dalam semua kejohanan sebelum Rudiger menanduk masuk hantaran Toni Kroos pada lima minit tambahan masa ketika dia bertembung dengan penjaga gol Anatoliy Trubin bagi mendapatkan jaringan itu.

Rudiger meninggalkan padang dengan kepalanya berdarah dan penjaga gol Shakhtar itu juga dapat bertahan pada minit-minit akhir dengan kepalanya berbalut.

“Dia mengalami luka yang agak panjang di dahi, banyak darah keluar, tapi dia OK,” kata jurulatih Carlo Ancelotti kepada Movistar.

“Dia mahu kembali ke padang tetapi kami sedari dia cedera. Saya tidak rasa ia terlalu serius.

“Kami tidak bermain baik, tapi pasukan ini tidak pernah mengalah. Kami sudah berada dalam kelompok 16 terakhir, pada malam yang nampak teruk. Itu perkara bagus. (Tapi) sebagai sebuah pasukan, ia bukanlah malam yang dimahukan.”

Madrid kini mengetuai Kumpulan F dengan 10 mata, di depan RB Leipzig yang mengumpul enam selepas mereka menewaskan Celtic 2-0 di Scotland manakala Shakhtar ketiga dengan lima mata.

Ancelotti merehatkan Vinicius Junior ketika pasukannya sedang mempersiapkan diri bagi aksi Clasico Ahad ini menentang Barcelona di Santiago Bernabeu.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker