Agong, Raja Permaisuri lakukan kunjungan hormat ke atas Raja Charles III

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, berkenan berangkat melakukan kunjungan hormat ke atas Raja Charles III di Istana Buckingham, London, United Kingdom (UK), semalam.

Istana Negara dalam satu kenyataan, hari ini, memaklumkan kunjungan hormat itu adalah sempena lawatan khas Seri Paduka berdua ke London dari 10 hingga 16 Oktober ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata sesi kunjungan hormat itu berlangsung selama 40 minit bermula jam 3 petang (waktu tempatan).

“Raja Charles III berkenan menyantuni dan beramah mesra dengan Seri Paduka berdua.

“Raja Charles III dan Yang di-Pertuan Agong turut menyentuh isu hubungan dua hala antara Malaysia dengan UK, termasuk isu alam sekitar dan pelancaran Stesen Jana Kuasa Battersea, sebuah projek hartanah ikonik pelaburan Malaysia di London, yang akan dirasmikan Seri Paduka selepas sesi kunjungan hormat itu,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, keberangkatan Seri Paduka berdua melakukan kunjungan hormat itu mencerminkan keakraban Yang di-Pertuan Agong dengan Raja Charles III.

“Kedua-dua pemimpin telah menjalinkan persahabatan sejak lebih empat dekad, bermula dengan bersukan polo bersama-sama ketika remaja dalam pelbagai peringkat kejohanan antarabangsa.

“Kunjungan hormat ini yang juga pertemuan kali kedua antara kedua-dua pemimpin pada tahun ini, turut mencerminkan hubungan dua hala yang rapat antara Malaysia dengan UK sejak kemerdekaan 65 tahun lalu,” katanya.

Pada 18 September lalu, Seri Paduka berdua berkenan berangkat menghadiri Majlis Resepsi Bersama Raja Charles III yang dihoskan baginda di Istana Buckingham.

Seri Paduka berdua turut berkenan berangkat menghadiri istiadat pemakaman negara Ratu Elizabeth II di Westminster Abbey pada 19 September lalu.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker