Anak Tun Dr Ismail akan bertanding lawan Zahid Hamidi



KUALA LUMPUR – Anak bekas Timbalan Perdana Menteri pada era Tun Abdul Razak, Mohamed Tawfik Tun Dr Ismail mengesahkan yang beliau akan bertanding menentang Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Bagan Datuk dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Mohamed Tawfik yang merupakan pengasas Gerak Independent pernah menjadi Ahli Parlimen Sungai Benut, Johor di bawah Barisan Nasional (BN) pada tahun 80-an.

Menurut Mohamed Tawfik, beliau menawarkan diri dengan tema ‘Rakyat lawan Rasuah’.

Beliau berharap piihan raya kali ini akan membuktikan bahawa rakyat akan menolak rasuah dan pemimpin yang rasuah atau yang dianggap mengamalkan rasuah dan salahlaku.



“Saya mahu pemimpin, khususnya Melayu kembali pada kompas moral yang betul. Negara kita sedang menghadapi krisis amalan rasuah yang paling buruk dalam sejarah.

“Keadaan rasuah sudah sampai ke peringkat kronik,” ujar beliau ketika dihubungi Sinar Harian.

Mohamed Tawfik mahu rakyat memilih pemimpin yang bukan sahaja bersih tetapi kelihatan bersih.

Ditanya mengapa memilih Bagan Datuk, beliau berkata, “Kepimpinan bersih harus bermula di sana.”



Beliau menyedari bahawa menentang seorang presiden parti yang besar dengan jentera yang hebat bukan mudah, tetapi sesorang harus melakukannya.

“Kita harus menghantar mesej kepada rakyat bahawa masa depan negara bergantung pada imej yang bersih di kalangan pemimpinnya,” ujarnya.

© Sinar Harian 



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker