DUN Perlis: RUU Anti-Lompat Parti lulus

Kangar: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis meluluskan pindaan Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis (Pindaan) 2022 bagi menghalang seseorang wakil rakyat ‘melompat’ parti selaras dengan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti.

Pindaan terhadap Perkara 50, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perlis (Pindaan) 2022 disokong sebulat suara oleh Ahli Dewan ketika sidang DUN Khas Sempena Mesyuarat Ketiga, Penggal Persidangan Kelima, DUN Perlis Yang ke-14 di sini, hari ini.

Pindaan rang undang-undang itu dibentangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan disokong Asmaiza Ahmad (BN-Chuping) sebelum diluluskan selepas dibentangkan dan dibahaskan oleh semua ADUN.

Azlan dalam perbahasannya mengatakan bahawa tindakan keluar parti oleh seseorang wakil rakyat jelas mengkhianati mandat rakyat yang sudah memilih mereka secara demokrasi.

“Pindaan ini sangat wajar apabila dipilih sebagai wakil rakyat, sesiapa yang dipilih tidak wajar dan tidak adil kepada rakyat apabila amanah atau mandat diberi rakyat itu dikhianati.

“Rakyat buat keputusan atas pertimbangan tertentu dan selain keyakinan parti yang diwakili wakil rakyat itu dan keyakinan wakil rakyat itu sendiri perlu menjalankan amanah yang diberikan,” katanya dalam perbahasan berkenaan.

Katanya, kesan daripada tindakan yang dilakukan itu boleh menimbulkan ketidakstabilan dalam parti yang diwakili.

“Malah, ia juga mampu menggoncang dan boleh melemahkan parti secara dalaman sebabnya mana parti politik pun kekuatannya dan kemampannya bergantung kepada kesetiaan ahli dalam parti

“Dengan tindakan melompat parti ini ia dikhuatiri tidak mustahil boleh menghancurkan parti itu juga,” katanya.

Sementara itu, Speaker DUN Perlis, Datuk Hamdan Bahari memaklumkan bahawa dua ADUN, Teh Chai Aan (BN-Titi Tinggi) dan Mohd Shukri Ramli (PAS-Sanglang) tidak dapat hadir untuk menyokong pindaan berkenaan disebabkan kedua-duanya berada di luar Perlis untuk urusan yang tidak dapat dielakkan dan surat pemakluman ketidakhadiran sudah pun diserahkan kepada sidang DUN.

Perlis menjadi negeri kedua selepas Pulau Pinang yang meminda perlembagaan negeri bagi menghalang wakil rakyat ‘melompat’ parti.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker