Hembus nafas terakhir saat dipapah ke surau

Sungai Petani: “Arwah berehat di pondok namun melihat dirinya lembik dan tidak bermaya, rakan setugasnya memapah ke surau berdekatan sebelum dia menghembuskan nafas terakhir,” Timbalan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Tunku Ismail, Azizul Hisham Abdul Rahman, 43.

Dia berkata demikian ketika menceritakan kejadian menimpa seorang guru Pendidikan Islam sekolah terbabit iaitu Allahyarham Ustaz Khairul Izad Ismail, 47, yang meninggal dunia pada jam 11.10 pagi ini.

“Saya dimaklumkan ketika itu arwah bersama seorang lagi guru berehat di pondok berhampiran surau namun sebaik rakan setugas berpaling mahu memanggilnya dia dilihat sudah lembik dan tidak bermaya.

“Melihatkan keadaan arwah, beberapa rakan terdiri daripada guru sekolah berkenaan memapah masuk ke dalam surau.

“Ketika dipapah arwah masih bernafas namun sebaik masuk ke dalam surau, Ustaz Khairul menghembuskan nafas terakhir dan disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.

Menurutnya, Khairul Izad bertugas di sekolah terbabit sejak lebih 10 tahun lalu dan dia seorang guru yang suka membantu serta disenangi rakan setugas.

“Ustaz seorang yang peramah serta suka membantu orang lain selain bertimbang rasa dan memang mudah menjalankan urusan dengannya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan mendapati kematian guru terbabit tidak mempunyai sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.

Difahamkan, Allahyarham meninggal dunia kerana serangan jantung dan dia sebelum ini juga dikatakan tidak pernah mengadu sakit kepada rakan setugas.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Pekan Sik selepas maghrib malam tadi.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker