Mr D.I.Y adakan program gunting rambut percuma untuk pelajar sekolah
Para pelajar di Selangor sangat bertuah apabila mereka menerima khidmat gunting rambut secara percuma yang ditawarkan oleh peruncit perkakas rumah kegemaran Malaysia, Kumpulan MR D.I.Y. (M) Berhad (MR D.I.Y.).
Lebih 300 pelajar telah menikmati manfaat ini di bawah inisiatif ‘Program Gunting Rambut’, yang merupakan sebahagian daripada usaha peruncit tersebut untuk menggalakkan kesedaran mengenai penjagaan kebersihan diri yang lebih baik.
Program tersebut merupakan inisiatif bersama antara MR D.I.Y.; Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri Sri Bakawali, Bukit Sentosa, Rawang; Pusat Tuisyen Sinaran Impian dan Pertubuhan Penggerak Komuniti Impian di Seri Kembangan, Selangor.
Mengulas tentang inisiatif tersebut, Pengerusi Kumpulan MR D.I.Y., Datuk Azlam Shah Alias berkata, ada dalam kalangan masyarakat yang mengunjungi kedai gunting rambut atau salun setiap bulan untuk menggunting rambut atau mendapatkan khidmat profesional bagi penggayaan rambut.
Bagaimanapun ujarnya, tidak semua mampu berbuat demikian disebabkan kekangan tertentu.
Atas sebab itu, MR D.I.Y. mewujudkan ‘Program Gunting Rambut’ yang dilihat sebagai cara paling sesuai untuk menceriakan komuniti dan pada masa sama, membina komuniti yang lebih selamat serta sihat dengan mempromosikan penjagaan kebersihan diri yang lebih baik.
Sementara itu, ‘Program Gunting Rambut’ secara percuma ini telah dijalankan dalam dua sesi di lokasi yang berasingan.
Bagi sesi pertama, seramai 20 sukarelawan dari MR D.I.Y. dan 10 penggaya rambut dari GiatMara Ampang Jaya, Kuala Lumpur; DMZ Salon & Barber Academy dan Eunoia Professional Hair Studio memberikan khidmat menggunting rambut secara percuma kepada 100 pelajar dari Pangsapuri Sri Bakawali.
Sesi kedua pula melibatkan 200 pelajar dari kawasan Seri Kembangan mendapatkan khidmat menggunting rambut secara percuma yang dikendalikan 23 sukarelawan MR D.I.Y dan 12 penggaya rambut dari GiatMara Ampang Jaya.
Bagi menambahkan kemeriahan acara tersebut, MR D.I.Y juga telah mengadakan ‘Zon Aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang menampilkan pelbagai aktiviti pembelajaran untuk para pelajar dan ibu bapa mereka.