Aeropolis MAHB mercu tanda penerbangan dan kargo serantau

Berita penaiktarafan Aerotrain di KLIA mungkin menarik perhatian baru-baru ini, namun tarikan lebih hebat ialah transformasi besar-besaran kawasan sekitarnya yang berpotensi dinobatkan sebagai terbaik di dunia.

KLIA Aeropolis, hasil cetusan idea Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), merupakan bandar lapangan terbang terunggul yang merangkumkan perkhidmatan pelengkap lapangan terbang itu serta perniagaan dan penerbangan menerusi tiga kluster induk: kargo udara dan logistik; aeroangkasa dan penerbangan; serta Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) dan riadah.

Tahap keyakinan terhadap kejayaannya dapat dilihat dari peringkat awal lagi, menerusi pelaburan signifikan dan perkongsian strategik yang mengubah landskap berkenaan, baik dari segi fizikal mahupun dalam industri itu sendiri.



Pembangunan di Aeropolis menyasarkan untuk terus meningkatkan laluan penerbangan baharu, menambah permintaan untuk tenaga kerja berkemahiran tinggi, serta peluang pekerjaan dengan tawaran gaji lebih tinggi di rantau ini.

Dalam pada itu, syarikat gergasi global, DHL dan Cainiao, tidak sewenang-wenangnya memberikan pengiktirafan terhadap Aeropolis.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia & Brunei Julian Neo,menjelaskan keputusan untuk melabur RM200 juta dalam Aeropolis itu.

“Laluan masuk KLIA baharu ini menjadi pelaburan terbesar DHL Express di Malaysia, dan menggambarkan keyakinan berterusan syarikat terhadap negara serta rantau ini.



“Ini akan menjadi pintu masuk automatik sepenuhnya kami di Malaysia, dan bakal memainkan peranan penting dalam menyokong fokus berterusan DHL Express untuk menjadikan Malaysia hab logistik utama di rantau ini, seterusnya memperkukuh hubungan Malaysia dengan rangkaian logistik global.”

Dengan keluasan 13,422 meter persegi, laluan masuk baharu KLIA ini dijangka bersaiz hampir tiga kali ganda kemudahan sedia ada, selain mampu meningkatkan kapasiti pemprosesan penghantaran sebanyak lebih 400%.

Cirinya termasuk sistem isihan automatik sepenuhnya yang mampu menguruskan 10,000 bungkusan sejam, 24 jam sehari. Ini peningkatan ketara berbanding 2,400 bungkusan sejam ketika ini.

Selain kemajuan dari segi teknologi, kemudahan DHL juga neutral karbon, dilengkapi sistem pengumpulan air hujan, panel solar, dan pengurusan bangunan, bagi mengoptimumkan penggunaan tenaga.



“MAHB menjadi rakan kerja yang hebat, dengan menyokong perjalanan pertumbuhan dan peluasan kami di Malaysia, selain meletakkan negara dalam kedudukan lebih baik sebagai hab logistik unggul di rantau ini,” kata Neo.

“Mereka memainkan peranan penting dalam menarik semakin banyak FDI (pelaburan langsung asing) memasuki Malaysia. Sebagai peneraju pasaran yang berkedudukan baik dalam industri ekspres, kami mempunyai hubungan kukuh dengan pelanggan global serta multinasional, selain akan bekerja rapat dengan MAHB untuk membentuk Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.”

Turut menyedari potensi hebat ini, Cainiao Alibaba turut meletakkan tapaknya menerusi Cainiao Aeropolis eWTP Hub meliputi 24.28 hektar termasuk ruang gudang seluas 0.1 juta meter persegi.

Kemudahan itu termasuk operasi terminal kargo (CTO), penggudangan selain pusat isihan dalam Zon Perdagangan Bebas (FCZ).



Sistem pelepasan kastam digital serba inovatif ulungnya mampu mempercepat tempoh pelepasan daripada 24-48 jam kepada hanya 15 minit bagi penghantaran e-dagang.

Cainiao Aeropolis eWTP Hub juga yang pertama memiliki pusat pemeriksaan kastam dalaman secara “on-site”, di mana Jabatan Kastam Diraja telah menubuhkan pejabat operasi dan pentadbiran satelit.

Hasil sokongan diberikan terhadap pengendali lain seperti Kargo Express, GTR, dan Pos Aviation untuk beroperasi terus dari kemudahan mereka juga melihat percambahan lebih banyak laluan antarabangsa dan tempatan.

Ini seterusnya meningkatkan ketersambungan udara serta kestabilan pengangkutan udara, bagi memenuhi peningkatan permintaan untuk pengangkutan kargo udara, selain memperbaiki kecekapan pengendalian kargo sama ada untuk pihak penghantar mahupun penerima.



Bagi memenuhi keperluan keseluruhan komuniti KLIA FCZ termasuk pelawat, Plaza Premium Group (PPG), penyedia ruang menunggu mewah di lapangan terbang dan perkhidmatan perjalanan premier, telah berganding bahu bersama Cainiao untuk menyediakan kafeteria penuh di lokasi.

Kenneth Chan, pengarah operasi bagi Malaysia di Cainiao Aeropolis eWTP Hub berkata: “eHub ini telah menarik beberapa jenama terkemuka untuk menempatkan operasi pengagihan serantau di Malaysia, termasuk Ericsson yang memilih eHub ini sebagai saluran pengagihan 5G serantaunya.

“Kami melihat Malaysia sebagai lebih kompetitif di rantau ini, dan antara sebabnya adalah keupayaan eHub ini.

“Cainiao dan Alibaba Group turut bekerja keras untuk mengetengahkan KLIA sebagai hab kargo udara serantau terunggul, serta memacu eksport untuk pengusaha dari Malaysia khususnya PKS. Malah kami turut percaya, dengan sokongan pemegang taruh industri serta kerajaan persekutuan Malaysia, kami mampu memacu pertumbuhan industri kargo udara bermula dengan eHub,” katanya.



Dengan sasaran untuk meningkatkan status rangkaian kargo udara KLIA menjadi satu daripada laluan pengagihan utama dalam rantai Asean, Cainaio melihat untuk memacu Malaysia sebagai hab Asia Pasifik bagi Pusat Pengagihan Serantau (RDC), seterusnya meningkatkan bilangan kargo KLIA sebanyak 600,000 tan metrik tambahan setahun dalam tempoh 10 tahun akan datang, selain menggandakan kadar kargo sedia ada kepada 1.3 juta tan metrik setahun.

Cainiao menjangka memudahkan penghantaran 24 jam di dalam Malaysia bagi pengendali e-dagang, dengan sasaran utamanya adalah penghantaran di peringkat global dalam tempoh 72 jam.

Kemudahan serba moden itu juga diiktiraf di peringkat dunia termasuk menerusi Anugerah Luban yang berprestij bagi kecemerlangan pembinaan dan kejuruteraan, Anugerah Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC) 2021 bagi standard pembinaan tertinggi oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), dan Best Logistics Services 2022 oleh Dewan Perniagaan Digital Malaysia (MDCC).

“Kerjasama dengan MAHB ini menjadi faktor kejayaan utama dalam pembentukan konsep, pembangunan dan melengkapkan Cainiao Aeropolis eWTP Hub walaupun dalam pada kita dibelenggu pandemik.

“Sebagai tambahan terhadap sokongan infrastruktur, MAHB menjadi rakan perniagaan terbaik dalam pengurusan hal ehwal berkaitan peraturan. Kami bergantung kepada kepakaran mereka sepanjang peringkat perancangan dan pelaksanaan, bagi memastikan sentiasa mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa.”

© FMT 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button