Kanak-Kanak Umur Setahun Cedera Kepala Akibat Tersepit Lif

Seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun mengalami kecederaan di kepala akibat tersepit pada lif yang tersangkut dalam satu kejadian di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Hicom, Seksyen 26, semalam (Ahad).

Berdasarkan laporan Berita Harian, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Morni Mamat memaklumkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.

Pasukan berkenaan yang tiba di lokasi pada jam 7.30 malam mendapati insiden itu membabitkan lif yang dinaiki lima mangsa sedang turun dari tingkat enam, bagaimanapun tersangkut di tingkat empat pangsapuri terbabit.

Dalam pada itu, siasatan awal mendapati, sebelum lif itu tersangkut, seorang lelaki dewasa yang mendukung anak lelakinya berusia setahun setengah sedang bersandar pada pintu lif, sebelum pintu itu terbuka secara tiba-tiba.

Kanak-kanak itu terjatuh dan kepalanya tersepit di lubang antara pintu lif dengan dinding bangunan berkenaan.

Dengan menggunakan peralatan khas, anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa yang cedera di bahagian kepala dalam tempoh lima minit.

Mangsa diberi rawatan awal oleh anggota bomba sebelum dihantar ke Hospital KPJ Shah Alam menggunakan jentera Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS).

Menurut Morni lagi, empat orang mangsa lain iaitu bapa mangsa dan tiga wanita dewasa yang turut berada di dalam lif berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan telah dikeluarkan oleh orang awam sebelum anggota bomba tiba.

Sumber: Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker