China guna taktik ketenteraan ‘Hirisan Salami’ kuasai Laut China Selatan
Sebuah laporan antarabangsa telah mengetengahkan taktik ketenteraan ‘hirisan salami’ yang dilakukan oleh China, di mana taktik tersebut telah mencetuskan ketegangan dan berkemungkinan mengheret Korea Selatan dan Jepun ke dalam lembah konflik.
Strategi ini sering digunakan oleh China, di mana tentera China akan melakukan provokasi secara kecil-kecilan, seperti melintasi sempadan lautan negara lain, dan hal ini dilakukan bagi ‘menguji’ kekuatan dan ketegasan negara terlibat.
Dalam 18 bulan kebelakangan ini sahaja, kapal dan pesawat China sudah menceroboh lautan serta ruangan udara Jepun dan Korea Selatan – sebuah tindakan yang dipercayai merupakan ujian untuk melihat kelajuan tindak balas negara-negara terlibat.
Kerajaan Korea Selatan sendiri telah mengesahkan pada awal Oktober baru-baru ini bahawa hampir 70 kejadian pencerobohan oleh pesawat China telah berlaku pada tahun 2021.
Strategi ini adalah merupakan sesuatu yang sangat licik, kerana provokasi seperti ini adalah sesuatu yang berskala kecil dan pada dasarnya tidak boleh ditangani dengan peperangan.
Hal ini kemudiannya akan menghimpit negara-negara yang terlibat, seperti Korea Selatan, Jepun dan Malaysia (dalam beberapa kejadian sebelum ini) untuk memilih sama ada untuk berdiam diri atau melawan – di mana tindakan melawan boleh mencetuskan peperangan dengan empayar China yang besar.