DUN Pahang bubar hari ini – Menteri Besar

KUANTAN: Pahang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata pembubaran itu selepas mendapat perkenan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Katanya, ia selaras dengan Fasal (2) Perkara 26 Bahagian Kedua Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah berkenan agar DUN Pahang Ke-14 dibubarkan.

“Pembubaran bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri dilaksanakan serentak dengan Pilihan Raya Umum di peringkat Persekutuan,” katanya pada sidang media khas di Wisma Sri Pahang, di sini hari ini.



Wan Rosdy berkata, tarikh pembubaran hari ini dipilih bagi membolehkan pembentangan serta perbahasan mengenai Belanjawan Pahang 2023 disempurnakan terlebih dahulu, sekali gus mendapat kelulusan untuk dilaksanakan pada tahun depan.

Katanya, ia dilakukan demi kepentingan rakyat kerana sebahagian besar intipati belanjawan adalah berkisar mengenai usaha membantu setiap lapisan rakyat di negeri ini.

“Meskipun penggal ini masih berbaki beberapa bulan lagi, ketetapan untuk membubarkan DUN Pahang Ke-14 dan seterusnya menyertai PRU-15 bersama dengan Kerajaan Persekutuan diambil bersandarkan kepada beberapa keperluan.

“Pertama, untuk mengelakkan proses dan musim pilihan raya yang berulang-ulang dalam tempoh yang singkat.



“Ini kerana kurang setahun dari sekarang, penggal ini akan berakhir dan pilihan raya mesti diadakan.

“Sekiranya Pahang tidak menyertai PRU15 sekarang, ia hanya akan menyebabkan kita terpaksa melalui proses pilihan raya sekali lagi di peringkat negeri kelak.

“Perkara ini sudah pasti memerlukan penggunaan sumber tenaga, masa dan fokus yang tinggi dan ia boleh dielakkan sama sekali, sekiranya Pahang menyertai PRU15 bersama Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Wan Rosdy berkata, keduanya Pahang memilih untuk turut serta dalam PRU15 kerana pilihan raya yang dijalankan secara serentak berupaya menjimatkan kos dalam pelbagai aspek seperti pengurusan dan pengendalian pilihan raya.

Katanya, ketiga ialah permulaan dan pengakhiran penggal yang selari antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan akan melancarkan pelbagai urusan pentadbiran antara kedua-dua pihak.

“Ini sekali gus membolehkan kerajaan negeri memberi fokus kepada agenda pengurusan dan pembangunan negeri dengan lebih berkesan.

“Oleh yang demikian, kerajaan negeri berpendirian, wujud kewajaran serta keperluan untuk negeri Pahang turut menyertai PRU15 pada kali ini,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker