Gelaran Raja Bukit masih kekal milik Nur Aiman

GENTING HIGHLANDS: Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff terus mengekalkan gelaran Raja Bukit (Jersi Merah) pada saingan peringkat ketiga perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) PETRONAS 2022 laluan Putrajaya ke Genting Highlands.

Pada perlumbaan sejauh 124.2 kilometer (km) hari ini, Muhamad Nur Aiman tampil cemerlang selepas menakluk dua daripada empat zon pendakian ditawarkan membabitkan Tekali dan Look Out Point Ampang.

Pelumba Ara Pro Racing Sunshine Coast, Carter Bettles dan Ivan Ramiro Sosa Cuervo dari pasukan Movistar Team kemudian mengungguli dua zon pendakian paling mencabar pada peringkat ketiga itu membabitkan Gohtong Jaya dan puncak Genting Highlands.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan Muhamad Nur Aiman terus mengungguli gelaran Raja Bukit selepas mengumpul 29 mata diekori rapat Sosa (25 mata) dan pelumba EF Education-Easypost, Hugh John Carthy (24 mata).



“Segala yang saya rancang hari ini serba menjadi apabila saya berjaya tawan dua zon pendakian awal perlumbaan yang membolehkan saya mengutip mata.

“Esok tiada zon pendakian ditawarkan dan saya akan kembali pertahankan semula jersi ini pada peringkat kelima (Sabtu). Dan saya amat berharap dapat mempertahankan jersi ini sehingga tamat perlumbaan walaupun cabaran tahun ini adalah jauh lebih sengit,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan.

Pada perlumbaan peringkat ketiga itu gelaran pelumba terbaik negara menjadi milik pelumba muda skuad kebangsaan, Kee Zhe Yie apabila mengakhiri perlumbaan di kedudukan ke-39.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker