Hasrat lagu ciptaan dinyanyikan anak saudara tidak kesampaian

KEMAMAN – Hasrat komposer terkenal, Wan Zul atau nama sebenarnya, Che Wan Zulkifli Che Wan Abdul Ghani mendengar lagu ciptaannya yang akan dinyanyikan anak saudaranya tidak kesampaian apabila meninggal dunia, awal pagi semalam.

Anak Allahyarham, Che Wan Nuradli, 31, berkata, bapanya mencipta lagu berunsurkan ketuhanan pada Mac lalu untuk dinyanyikan Che Wan Nur Fatin Aqila Che Wan Zuhaini, 23.

“Selain lagu tersebut, Allahyarham turut mencipta beberapa lagu lain untuk beberapa artis, namun semuanya juga tidak sempat untuk dirakam,” katanya ketika ditemui di kediaman kakaknya, Che Wan Nursyikin di Kampung Baru Kijal di sini semalam.

Wan Zul, 61, meninggal dunia pada pukul 2.33 pagi selepas ditidurkan dua kali berikutan jangkitan kuman pada paru-paru akibat melioidosis.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, pemergian bapanya adalah kehilangan besar buat keluarga dan juga kepada dunia seni.

“Ayah seorang yang penuh dengan kasih sayang. Malah, dia melayan saya seperti seorang sahabat baik. Memang pemergian ayah dirasai setiap ahli keluarga,” katanya.

Che Wan Nuradli berkata, dia dan kakaknya serta ibu mereka tidak menyangka kesihatan ayahnya kembali merosot berikutan dia telah menunjukkan perkembangan positif selepas sedar daripada ditidurkan pada Isnin minggu lalu.

“Ayah kembali sedar pada Sabtu lalu, arwah sempat berbual dan bergurau dengan ibu. Memang tak sangka kesihatannya akan merosot hingga dia menghembuskan nafas terakhir awal pagi tadi,” katanya.

Sementara itu, pemain drum kumpulan Iklim, Kamaruddin Ibrahim, 58, yang turut memberi penghormatan terakhir buat Allahyarham Wan Zul, turut menyifatkan pemergian arwah sebagai kehilangan yang sukar dicari ganti.

“Arwah seorang yang baik dan adalah individu yang bertanggungjawab menaikkan kumpulan Iklim menerusi lagu-lagu ciptaannya yang disifatkan sebagai ‘berhantu’ dan masih dikenali sehingga kini.

“Sepanjang kariernya, arwah sangat berhati-hati dalam pemilihan lagu dan sangat bersungguh-sungguh dalam berkarya,” katanya.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kijal kira-kira pukul 2.30 petang selepas disolatkan di Masjid Jamek Kijal.

© Utusan Online 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker