JDT mahu berpesta, tewaskan Sabah
JOHOR BAHRU: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak akan memberi laluan mudah buat Sabah FC apabila pasukan dari Negeri di Bawah Bayu itu yang mengidam slot ke saingan Piala AFC akan bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim pada aksi terakhir Liga Super, malam esok.
Ini kerana JDT yang bergelar juara liga sembilan musim berturut-turut enggan berada dalam `mood’ kecewa tatkala akan berpesta sebaik aksi menentang Sabah FC itu berakhir diikuti penyampaian trofi liga di hadapan penyokong skuad Harimau Selatan dan semestinya mereka mahu melakar kemenangan pada aksi terakhir liga.
Malah pengendali JDT, Hector Bidoglio berazam untuk memastikan aksi terakhir di laman sendiri akan dinoktahkan dengan kemenangan sekali gus mengulangi pencapaian pada musim 2016 selepas mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang aksi liga.
“Sabah adalah pasukan hebat dalam saingan liga apabila berada di kelompok lima pasukan terbaik dan mereka pasti idamkan kemenangan kerana mahu memburu slot ke saingan Piala AFC tapi kami juga mahukan kemenangan uhtuk menamatkan saingan tanpa kekalahan.
Pada pertembungan pusingan pertama JDT yang ketika itu dibimbing bekas jurulatih, Benjamin Mora, mereka menang 2-1 menewaskan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu, 15 Julai lalu.
Kini Bidoglio pastinya mahu mengulangi pencapaian itu sambil berharap Fernando Forestieri yang tidak dapat diturunkan ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) mampu beraksi menentang Sabah FC selepas mengalami kecederaan.
BHOnline