Lavreysen juara dunia kali ke-10
Saint-Quentin-en-Yvelines: Harrie Lavreysen dari Belanda merangkul pingat emas Kejohanan Berbasikal Trek Dunia ke-10 di Perancis selepas memenangi acara keirin lelaki kali ketiga berturut-turut.
Pelumba berusia 25 tahun itu bangkit daripada kekecewaan susulan kekalahan mengejut Belanda kepada Australia dalam final pecut berpasukan lelaki.
Lavreysen menewaskan rakan senegara, Jeffrey Hoogland di tempat kedua manakala Kevin Quintero dari Colombia melengkapkan podium.
Pemenang pingat emas Olimpik dua kali, Lavreysen akan memburu emas bagi acara pecut buat kali keempat berturut-turut dengan aksi final, Ahad ini.
Bintang Belgium, Lotte Kopecky berjaya meraih kemenangan dalam perlumbaan penyingkiran (elimination race) wanita untuk memenangi gelaran dunia trek ketiga dalam kariernya.
Pelumba berusia 26 tahun itu menikmati musim yang cemerlang dalam acara lebuhraya apabila memenangi Strade Bianche dan Tour of Flanders.
Kopecky meraih perak dalam acara sama di Roubaix ketika meraih tiga pingat pada kejohanan dunia tahun lalu.
Bagaimanapun dia mempamer kayuhan lebih bertenaga kal ini apabila mengatasi Rachele Barbieri dari Itali yang sekadar berpuas hati di tempat kedua.
BHOnline