Lima maut insiden tembakan di North Carolina

WASHINGTON, Amerika Syarikat – Sekurang-kurangnya lima maut termasuk seorang pegawai polis yang tidak bertugas, dalam satu tragedi tembakan di ibu negeri North Carolina, Raleigh.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) juga mengesahkan, seorang suspek ditahan dalam kejadian itu.

Datuk Bandar Raleigh, Mary-Ann Baldwin, berkata tembakan berlaku berhampiran Neuse River Greenway, sebuah denai popular di kawasan itu.



“Ini adalah hari yang menyedihkan dan tragis bagi bandar Raleigh,” katanya pada sidang media.

Baldwin sebelum ini melaporkan bahawa penembak itu ‘dikurung di sebuah kediaman di kawasan itu’ oleh pihak polis.

“Kami mesti melakukan lebih banyak lagi. Kita mesti menghentikan keganasan tidak berakal ini di AS. Kita mesti menangani keganasan senjata api. Banyak yang perlu kita lakukan, dan malam ini banyak yang perlu kita kesali,” kata Baldwin.

Jabatan Polis Raleigh turut mengesahkan lima maut dengan seorang daripada mereka adalah pegawai polis Raleigh yang tidak bertugas.



Leftenan Polis Raleigh, Jason Borneo dalam sidang akhbar selepas itu berkata, penembak juvana lelaki itu ditahan sekitar jam 9.30 malam.

Borneo berkata seorang mangsa dalam keadaan kritikal.

Difahamkan, antara yang cedera adalah seorang polis penjaga anjing dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

Bagaimanapun Borneo menyatakan, seorang pegawai polis yang cedera sudah keluar wad.



Ketika ditanya mengenai motif tembakan itu, Borneo berkata, ia mungkin akan dapat diketahui dalam tempoh beberapa hari akan datang.

Sementara itu, Gabenor North Carolina, Roy Cooper, yang menghadiri sidang akhbar petang itu, memberitahu wartawan bahawa, keganasan berlaku dalam komuniti mereka.

“Mimpi ngeri setiap komuniti hadir ke Raleigh. Ini adalah tindakan keganasan yang tidak masuk akal, ngeri,” katanya.

Menurut laman web Arkib Keganasan Senjata, keganasan senjata api adalah masalah utama di AS yang mana lebih 34,000 orang meninggal dalam tembakan 2022.



Tembakan di North Carolina berlaku selepas juri sebelum itu menolak hukuman mati tetapi menyokong hukuman penjara seumur hidup terhadap Nikolas Cruz, yang menembak dan membunuh 17 orang di sebuah sekolah menengah Florida pada 2018.

Insiden tembakan membabitkan ramai mangsa berulang kali memeranjatkan negara dan mencetuskan semula perdebatan mengenai kawalan senjata api dan isu itu menjadi hangat, yang turut memberi kesan kepada Kongres.

Bagaimanapun, terbaharu tembakan di sebuah sekolah di Texas dan pasar raya yang sering dikunjungi oleh warga Afrika-Amerika di New York, mengejutkan seluruh negara, sekali gus mendorong penggubal undang-undang pada Jun untuk meluluskan pembaharuan undang-undang kawalan senjata, pertama kali dalam tempoh 30 tahun.

Menurut projek Tinjauan Senjata hampir 400 juta unit senjata api kini sedang beredar dalam kalangan penduduk awam di AS pada 2017 atau 120 unit senjata api untuk setiap 100 orang.



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button