Padah simpan 34.5 tan gula tanpa lesen

Seremban: Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) merampas 34.5 tan gula dianggarkan bernilai RM98,496 selepas menyerbu sebuah syarikat di Bandar Sri Sendayan, di sini, kerana didapati menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran, semalam.

Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan berkata, serbuan jam 11 pagi di sebuah gudang mendapati syarikat itu belum memperoleh kelulusan bagi permohonan baharu Lesen Borong Barang Kawalan Berjadual.

“Ketika pemeriksaan dijalankan, kami menemui sebanyak 34,560 kilogram (34.5 tan) gula dalam kemasan peket satu kilogram berada dalam milikan di premis berkenaan.

“Sehubungan itu, syarikat terbabit disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu berurusan secara borong/runcit barang berjadual tanpa lesen yang dikeluarkan oleh pengawal bekalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.



Beliau berkata, kesemua gula yang dianggarkan berjumlah RM98,496 dan dokumen yang berkaitan pembekalan disita bagi tujuan siasatan lanjut.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menjalankan serbuan kedua di sebuah premis tanpa nombor, di Jalan Kampung Bemban, di sini, kerana dikesan menyimpan diesel tanpa kebenaran.

“Hasil serbuan ini, sebanyak 10,550 liter diesel, dua lori, tangki IBC dan peralatan digunakan untuk kerja pemindahan diesel disita bagi tujuan siasatan dengan anggaran nilai rampasan keseluruhan RM50,252.00.

“Dua suspek warga tempatan yang masing-masing berusia 46 tahun ditahan bagi tujuan siasatan,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker