Bekas Presiden JCorp didakwa perdaya pelaburan RM9.4 juta

JOHOR BAHRU: Bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp), Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim hari ini didakwa atas tuduhan memperdayakan Ahli Lembaga Pengarah (ALP) JCorp melibatkan pelaburan RM9.4 juta di dua syarikat, tiga tahun lalu.

Dia yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Kamaruzzaman didakwa melakukan perbuatan itu pada jam 9.30 pagi hingga 1.45 petang 8 Julai 2019 di Bilik Mesyuarat ALP Jcorp di tingkat 25, Menara Komtar di Johor Bahru, Johor.

Dia dituduh sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp menipu dengan memperdaya ALP JCorp dengan tidak memaklumkan kedudukan syarikat World Logistic Council Limited yang tidak mampu meneruskan operasi.



Kamaruzzaman didakwa secara tidak jujur mendorong ALP JCorp bersetuju dengan pembentangannya, iaitu dana sementara AS$5 juta (kira-kira RM21juta) diluluskan yang akhirnya menyebabkan wang sejumlah AD$1,000,000 (kira-kira RM4.21juta) daripada dana sementara dilabur dalam syarikat World Logistic Council Limited.

Selain itu, AS$1,250,000 (kira-kira RM5.26 juta) dilabur dalam syarikat World Logistic Council Americas LLC yang mana ALP JCorp tidak akan berbuat demikian sekiranya mereka tidak diperdayakan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum penjara antara satu tahun hingga 10 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Zander Lim Wai Keong mencadangkan mahkamah menetapkan wang jaminan RM200,000, namun peguam tertuduh, K Ragunath memohon ikat jamin RM50,000 dengan alasan tertuduh tidak bekerja sejak tiga tahun lalu dan memberi kerjasama sepanjang siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).



Ragunath juga menyatakan anak guamnya bakal mengerjakan umrah dan akan pulang pada 18 April depan dengan pasport tertuduh juga dalam simpanan ejen pelancongan bagi tujuan berkenaan.

Wan Mohd Norisham membenarkan Kamaruzzaman diikat jamin RM150,000 bersama syarat tambahan menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah pada 23 April depan, melapor diri kepada SPRM sebulan sekali dan tidak mengganggu saksi sebelum menetapkan 25 Mei untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

Kamaruzzaman bersara daripada Jcorp berkuat kuasa 31 Disember 2019 selepas berkhidmat dengan perbadanan itu hampir tiga dekad dengan pelbagai peranan dalam bidang kewangan.

Dia antara lain menjawat jawatan Ketua Pegawai Operasi pada 2006 yang melapor kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ketika itu, Tan Sri Muhammad Ali Hashim sebelum mengambil tanggungjawab CEO pada Disember 2010.

Ketika mengumumkan persaraannya pada 12 Disember 2019, Jcorp memaklumkan, sepanjang 27 tahun berkhidmat termasuk sembilan tahun menerajui perbadanan itu, Kamaruzzaman telah mengubah JCorp sebagai konglomerat terbesar milik kerajaan Johor kepada badan pelaburan kerajaan negeri paling dinamik dalam negara.

Berita Harian

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker