Sanggup kejar bas pastikan anak dapat pulang ke kampus
BANGI – Besarnya pengorbanan seorang bapa, Anuar Ibrahim kerana sanggup ‘memecut’ kereta sejauh lebih 67 kilometer (km) bagi memastikan anaknya tidak tertinggal bas untuk pulang ke kampus.
Kisah Anuar, 52, yang ‘mengejar’ bas dari Bangi Lama, di sini hingga ke berhampiran persimpangan Genting Sempah, Bentong, Pahang mendapat perhatian selepas isterinya, Nerfetiti Ahmad Nordin, 48, memuat naik video di TikTok.
Berkongsi kisah berkenaan, Anuar yang bekerja sebagai perunding hartanah itu berkata, anak keduanya, Nur Farrah Ariesa dijadualkan menaiki bas dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS), di sini ke Gambang, Kuantan, Pahang pada jam 11.45 pagi, Isnin lalu.
Bagaimanapun, dia dan isteri terleka dan tidak dapat menghantar anaknya ke terminal bas lebih awal kerana ada temujanji dan sesi tinjauan lot banglo murah dengan pasukan perunding hartanah di Bangi Lama, di sini.
“Temujanji itu bermula jam 10 pagi tetapi jadi lama pula hingga terlajak dan apabila sedar, saya, isteri bersama anak terus bergegas ke TBS.
“Kami sampai di TBS hampir jam 11.45 pagi dan sebaik tiba, saya dan anak terus turun dari kereta untuk mengejar bas sementara isteri tunggu di kereta.
“Bagaimanapun, pemandu tidak dapat tunggu dan bertolak dahulu jadi saya ambil keputusan memandu kereta ikut laluan Lebuhraya Karak untuk cuba mengejar bas berkenaan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.
Menurut Anuar, dia minta anaknya hubungi rakannya yang turut menaiki bas berkenaan dan diberitahu sudah sampai ke Taman Melawati, di sini.
“Jadi, saya cuba bawa lebih laju dan nampak bas masih ada sebaik tiba di Plaza Tol Gombak tetapi hilang daripada pandangan selepas membayar tol.
“Saya minta bantuan isteri untuk hubungi syarikat bas bagi meminta nombor pemandu dan pada awalnya, pejabat enggan beri kerana menjaga privasi namun kongsi juga (nombor) selepas dipujuk.
“Tanpa berlengah, isteri terus hubungi pemandu bas dan mujurlah dia baik hati serta setuju berhenti di tepi Lebuhraya Karak dekat kawasan selamat bagi mengambil anak saya.
“Mujur juga bas belum masuk ke simpang Genting Sempah kerana jika tidak, saya dan isteri tiada pilihan melainkan hantar anak terus ke kampusnya dekat Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Gambang,” katanya.
Anuar berkata, selepas hantar anaknya menaiki bas, dia dan isteri ambil keputusan untuk menghilangkan penat dengan singgah makan tengah hari di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang.
Berhubung kisahnya yang tular, Anuar berkata, dia tidak sangka video dimuat naik isterinya itu akan tular dan mendapat perhatian warganet hingga meraih lebih sejuta tontonan.
“Kata isteri, dia saja sunting video kemudian muat naik di TikTok untuk kongsi dengan rakan saja.
“Bagaimanapun, lain pula jadinya apabila ia jadi tular. Insiden itu mengingatkan saya dengan arwah ayah saya yang pernah mengejar bas dengan motosikal kerana enggan saya kecewa dan ketinggalan mengikuti rombongan sekolah ke Kuala Lumpur memandangkan saya tidak pernah pergi ke ibu kota.
“Kini, saya pula buat yang sama untuk anak dan pengalaman itu pastinya akan menjadi kenangan kami,” katanya.
© Harian Metro