Skuad negara terkandas acara pecut berpasukan kejohanan dunia

KUALA LUMPUR: Skuad berbasikal trek negara terkandas di pusingan kelayakan acara pecut lelaki dan wanita berpasukan pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2022 di Saint-Quentin-en-Yvelines, Perancis pada Rabu malam waktu tempatan (awal pagi tadi waktu Malaysia).

Skuad lelaki dibarisi Muhammad Shah Firdaus Sahrom, Muhammad Fadhil Mohd Zonis dan Muhammad Ridwan Sahrom menamatkan saingan pada kedudukan ke-11 daripada 17 pasukan pada peringkat kelayakan i National Velodrome, iaitu venue acara berbasikal trek Sukan Olimpik Paris 2024.

Hanya lapan pasukan dengan catatan masa terbaik layak ke pusingan berikutnya.



Pada pusingan kelayakan, trio negara ketinggalan 2.521 saat (s) di belakang pasukan Australia yang dibarisi Leigh Hoffman, Matthew Richardson dan Thomas Cornish yang mara ke pusingan pertama dengan 41.896s, berdasarkan keputusan dikeluarkan di laman web Persekutuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Matthew Glaetzer yang menggantikan Cornish pada aksi final acara pecut berpasukan, memastikan Australia membawa pulang pingat emas selepas menewaskan Belanda yang diwakili Roy van den Berg, Harrie Lavreysen dan Jeffrey Hoogland dengan merekodkan 41.600s, sekali gus menamatkan penguasaan Belanda dalam acara itu sejak 2018.

Great Britain dengan barisan pelumba seperti Jack Carlin, Alistair Fielding dan Hamish Turnbull meraih gangsa selepas mengatasi Stefan Botticher, Maximilian Dornbach dan Nik Schroter dari Jerman.

Sementara itu, pasukan wanita diwakili Anis Amira Rosidi, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri dan Nurul Aliana Syafika Azizan terlepas lapan tempat terbaik apabila sekadar menamatkan pusingan kelayakan di tempat ke-10 daripada 11 pasukan bertanding dengan 4.491s ketinggalan di belakang pelumba Jerman (46.573s).



Jerman yang membariskan Pauline Sophie Grabosch, Emma Hinze dan lea Sophie Friedrich mempertahan emas dimenangi untuk dua edisi berturut-turut di samping melebur rekod dunia sebanyak dua kali dengan catatan terbaik 45.967s menewaskan trio China Shanju Bu, Yufang Guo dan Liying Yuan pada aksi akhir.

Rekod dunia sebelumnya juga milik pasukan Jerman yang mencatatkan 46.064s untuk meraih emas pada edisi 2021 di Roubaix, Perancis pada Oktober tahun lepas.

Lauren Bell, Sophie Capewell dan Emma Finucane dari Great Britain terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas tiba di garisan penamat 0.008s di hadapan gandingan Belanda Kyra Lamberink, Shanne Braspennincx dan Steffie van der Peet yang mencatatkan 46.604s.

Skuad berbasikal kebangsaan akan meneruskan cabaran di Kejohanan Dunia hari ini menerusi Muhammad Shah Firdaus yang akan turun dalam acara keirin, manakala Anis Amira pula dalam acara pecut individu.



BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button