Sorok 500 liter diesel seludup belakang van
Sibu: Sejumlah merampas 500 liter minyak diesel yang disorok dalam tangki di belakang sebuah van di Jalan Chin Hua di sini, dirampas Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sibu kelmarin.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, van terbabit yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun ditahan dan diperiksa dalam Op Kontraban pada jam 7 pagi.
“Hasil pemeriksaan kenderaan terbabit membawa muatan minyak diesel lebih kurang 500 liter dalam tangki yang disimpan di bahagian belakang kenderaan berkenaan.
“Pemandu gagal mengemukakan sebarang bukti berdokumen kebenaran memiliki, menyimpan serta membawa barang kawalan tanpa permit kebenaran khas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kenderaan bersama pemandu ditahan dan dibawa ke Markas Teknikal Pasukan Polis Marin Wilayah 5 Sibu untuk tindakan selanjutnya.
“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM 51,075. Tangkapan dan rampasan diserah kepada Pegawai Penyiasat KPDNHEP Sibu untuk tindakan selanjutnya,” katanya.
METRO