UMNO tidak ada masalah untuk tampilkan calon yang masih muda

SHAH ALAM – UMNO tidak mempunyai masalah untuk mengetengahkan calon yang masih muda bagi mewakili parti itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Razlan Rafii berkata, langkah itu juga telah dilaksanakan dalam beberapa siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Justeru katanya, dakwaan parti itu sebagai ‘dinosaur’ adalah tidak tepat kerana muka baharu serta calon muda sememangnya turut diberi kepercayaan untuk bertanding dalam pilihan raya.

“Pada pandangan saya, apa sahaja komen rakyat untuk melihat muka-muka baharu dalam UMNO-BN telah dilaksanakan oleh pemimpin-pemimpin parti kita.

“Kita lihat apa yang berlaku di Johor, kita ada ramai Exco baharu, begitu juga di Melaka kita juga menampilkan calon-calon muda atau muka baharu,” katanya ketika menjadi tetamu Sinar Live membincangkan tajuk ‘Cukup kuatkah UMNO kali ini’ yang disiar secara langsung di semua platform Sinar Harian pada malam Khamis.

Program yang berlangsung kira-kira sejam itu turut menampil penganalisis politik, Dr Mohamed Tawfik Yaakub sebagai panelis, manakala Hazwan Mokhtar sebagai moderator.

Sementara itu, mengulas mengenai kekuatan UMNO untuk menghadapi PRU15, Mohd Razlan berkata, segala gerak kerja telah dilakukan untuk mendekati rakyat di peringkat akar umbi.

Jelasnya, PRU15 merupakan usaha untuk mengembalikan hak rakyat memilih parti atau kerajaan yang bakal memimpin kekuatan negara dalam erti sebenarnya.

“Kita inginkan kestabilan dan untuk wujudkan perkara ini mestilah datang daripada kabinet yang dibentuk melalui gabungan kerajaan yang memiliki matlamat yang sama iaitu untuk menjaga rakyat.

“Kerajaan yang akan dibentuk nanti mestilah dominan, bukan lagi ‘ceduk-ceduk’ sedikit daripada parti tertentu seperti mana yang berlaku sebelum ini hingga akhirnya tidak stabil,” katanya.

© Sinar Harian 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker