Zhe Yie bintang baharu berbasikal negara
Shah Alam: Pada usia 19 tahun dan menjadi pelumba Malaysia pertama tiba di puncak Genting Highlands semalam, seolah-olah memberi petanda bahawa Kee Zhe Yie mempunyai potensi besar untuk menyinar dalam sukan berbasikal.
Bukan saja masih muda, malah penampilan sulung di Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) langsung tidak menggentarkan anak jati Dungun, Terengganu ini untuk memberi cabaran dengan pelumba handalan antarabangsa.
Peringkat ketiga dari Putrajaya ke Genting Hihglands semalam atau digelar sebagai ‘Queen Stage’ menyaksikan Zhe Yie yang mewakili pasukan kebangsaan menamatkan saingan di tempat ke-39.
“Apabila beraksi di perlumbaan antarabangsa seperti ini saya berpeluang untuk melihat sendiri bagaimana pelumba profesional berkayuh. Sebenarnya banyak lagi saya perlu belajar dengan mereka.
“Antara ilmu yang saya mahu kutip daripada mereka ialah dari segi kelajuan dan teknik dalam perlumbaan seperti ini,” kata Zhe Yie yang ketinggalan 13 minit 12 saat (s) dengan juara peringkat ketiga, Ivan Ramiro Sosa (Movistar Team) semalam.
Walaupun Zhe Yie mempamerkan aksi terpuji ketika melakukan pendakian ke Genting Highlands semalam, namun dia bukan seorang pakar bukit sejati.
Dia juga mempunyai kelebihan ketika melakukan pecutan apabila menjadi pelumba negara pertama melintasi garisan penamat di peringkat pembukaan (Kuala Pilah ke Kuala Lumpur) serta menamatkan saingan di kedudukan ke-21 dari Kuala Klawang ke Raub (peringkat kedua).
“Saya meminati sukan berbasikal ketika berusia enam tahun, tapi betul-betul minat apabila sering membaca di suratkhabar mengenai kejayaan jaguh negara, Datuk Azizulhasni Awang. Saya bermula dengan mengayuh basikal fixie.
“Selepas itu ada seorang kawan mengajak saya masuk Sekolah Sukan Terengganu dan permohonan saya diterima untuk menyambung pengajian di sana ketika di tingkatan dua. Dari situ barulah saya serius dalam sukan berbasikal,” katanya yang juga naib juara Kejohanan Kebangsaan Bawah 23 tahun 2022.
Dia yang menjadikan pelumba Belgium, Remco Evenepoel sebagai idola turut mengakui keluarganya memberi sokongan padu dan tidak kisah terbabit dalam sukan berbasikal walaupun ia didominasi oleh pelumba berbangsa Melayu.
“Saya juga kurang berminat untuk menyertai acara trek dan hanya minat menyaksikan perlumbaan itu sahaja. Saya pernah cuba beraksi di velodrom dalam acara individu,” katanya.
Sementara itu, jurulatih skuad kebangsaan, Yusof Nasir berkata, setakat ini Zhe Yie masih lagi pelumba ‘all-rounder’ dan tidak mempunyai peranan khas dalam saingan lebuh raya.
“Dia juga boleh melakukan pecutan dengan baik di penamat beramai-ramai, jadi masih belum ada peranan spesifik sama ada dia pakar pecutan mahupun bukit, mungkin disebabkan dia masih muda,” katanya.
METRO