Protes Iran seperti ‘sel barah’, merebak hingga ke penjara

Protes Iran seperti ‘sel barah’, merebak hingga ke penjara

Protes Iran seperti ‘sel barah’, merebak hingga ke penjara
JENTERA bomba berada di luar kompleks penjara Evin di utara Teheran, Iran bagi memadamkan kebakaran yang berlaku. – AFP

TEHERAN: Sudah lima minggu berlalu, namun siri tunjuk perasaan yang membantah kematian seorang wanita, Mahsa Amini di seluruh Iran terus berlangsung seperti tiada tanda akan reda.

Siri protes itu diburukkan lagi dengan kebakaran dan rusuhan yang dilaporkan berlaku di penjara Evin, di sini kelmarin.

Beberapa bunyi tembakan dan letupan dapat didengari dari dalam kompleks penjara tersebut yang terletak di utara Teheran, selain ruang udara dilitupi dengan kepulan asap hitam.



Punca kebakaran yang berlaku di penjara tersebut sehingga kini masih belum dapat dikenal pasti, dan pihak berkuasa menolak kejadian itu dikaitkan dengan tunjuk perasaan kematian Mahsa Amini.

Wanita berusia 22 tahun itu, dilaporkan meninggal dunia pada 16 September lalu selepas didakwa dipukul polis ketika ditahan kerana didakwa melakukan kesalahan etika pemakaian tudung.

Evin terkenal dengan layanan buruk yang diterima oleh tahanan asing dan politik, selain ratusan penunjuk perasaan yang ditahan sepanjang protes berlaku turut dihantar ke sana.

Kumpulan hak asasi manusia yang berpangkalan di Oslo, Iran Human Rights (IHR) menyatakan, bunyi tembakan dan kebakaran dapat didengari jelas di dalam penjara tersebut, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai nasib tahanan yang berada di dalamnya.




DISYORKAN UNTUK ANDA :


Pihak berkuasa Iran memaklumkan, sekurang-kurangnya empat maut dan 61 orang cedera dalam insiden itu.

Selain itu, jalan menuju ke penjara tersebut juga ditutup bagi menyuraikan tunjuk perasaan yang berlaku di sekitar kawasan penjara.

“Semua tahanan, termasuk tahanan politik berisiko mengalami kecederaan mahu pun terbunuh di dalam penjara itu ketika ini.

“Nyawa mereka berisiko untuk hilang selagi keadaan di seluruh negara belum reda,” kata Pengarah Center for Human Rights In Iran (CHRI) yang berpangkalan di New York, Hadi Ghaemi.



Dalam pada itu, media Iran melaporkan, kebakaran dan rusuhan yang berlaku di penjara tersebut sudah pun reda.

Agensi berita IRNA memaklumkan, situasi di penjara itu adalah terkawal dan enggan mengaitkan insiden yang berlaku dengan siri tunjuk perasaan ketika ini.

Penjara Ervin turut menempatkan sejumlah tahanan asing termasuk ahli akademik Perancis-Iran, fariba Adelkhak dan rakyat Amerika Syarikat (AS), Siamak Namazi.

Peguam bela Namazi, Jared Genser berkata, beliau sudah bercakap dengan keluarga tahanan tersebut yang jelas bimbang dengan insiden berlaku.



Jurucakap Jabatan Negara AS, Ned Price memaklumkan, Washington memantau rapat insiden tersebut dan memberi amaran Iran perlu bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan semua tahanan.

TUNJUK PERASAAN TERBESAR

Kumpulan hak asasi manusia melaporkan, penunjuk perasaan mula membanjiri jalan-jalan utama di Teheran sebagai solidariti terhadap tahanan di penjara Evin walaupun sambungan internet dikatakan terputus di bandar itu.

Wanita-wanita muda dan golongan remaja berada di barisan hadapan dalam gelombang protes jalanan yang disifatkan terbesar di negara ini sejak beberapa tahun lalu.

Video tular turut menunjukkan senapang, kereta kebal, bunga api dan laungan wanita tanpa hijab pada perhimpunan di Kolej Teknikal dan Vokasional Shariati Tehran.



Tunjuk perasaan turut berlaku di beberapa bandar lain termasuk di Hamedan dan Ardabil.

Menurut Kumpulan Hak Asasi Manusia Iran, sekurang-kurangnya 108 orang terbunuh dalam protes Mahsa, dan sekurang-kurangnya 93 lagi maut dalam pertempuran berasingan di Zahedan, ibu kota wilayah tenggara Sistan-Baluchestan.

Pergolakan berterusan turut menyebabkan sekurang-kurangnya 23 kanak-kanak bawah umur maut, insiden yang disifatkan sesuatu yang amat menyedihkan.

Media tempatan melaporkan, tiga anggota tentera Basij terbunuh dan 850 cedera di Teehran sejak rusuhan dan tunjuk perasaan bermula.



Tindakan tegas kerajaan Teheran itu mendapat kecaman antarabangsa selain sekatan terhadap Iran dikenakan oleh Britain, Kanada dan AS.

Negara-negara Kesatuan Eropah (EU) minggu ini bersetuju untuk mengenakan sekatan baharu, dan langkah itu akan disahkan pada mesyuarat menteri luar blok itu di Luxembourg esok. – AFP

Anwar Ibrahim ‘wajib’ dilantik sebagai PM

 

Protes Iran seperti ‘sel barah’, merebak hingga ke penjara

DISYORKAN UNTUK ANDA :

LAWATI LAMAN FACEBOOK KAMI :


Anwar Ibrahim ‘wajib’ dilantik sebagai PM

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button