Agong zahirkan harapan mahu PRU15 diadakan dalam tempoh terdekat

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan, isu-isu berkaitan banjir yang dibangkitkan oleh penyandang kerusi Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung pembubaran Parlimen, tidak relevan dengan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Perdana Menteri berkata, selain itu perkara-perkara berkaitan parti politik lain yang tidak bersetuju dengan pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) diadakan tahun ini, juga tidak relevan dengan kuasa YDPA di bawah Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan.

Ujar beliau, YDPA menjalankan kuasa prerogatif secara bijaksana ketika menzahirkan harapan bahawa PRU-15 perlu diadakan dalam tempoh terdekat sebelum Monsun Timur Laut yang diramal bermula pada pertengahan November ini.

“Ini menunjukkan sifat keprihatinan dan cakna YDPA dalam mengambil kira faktor kebajikan rakyat walaupun ia bukan satu keperluan di bawah Perkara 55(2) dan Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan,” ujar beliau.



Ismail Sabri menyatakan demikian dalam afidavit sokongan yang diikrarkan semalam dalam permohonan bagi membatalkan saman pemula yang dikemukakan oleh Charles berhubung pembubaran Parlimen.

Selain Perdana Menteri, pemohon-pemohon terdiri daripada Kerajaan Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Ketiga-tiganya dinamakan sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga dalam saman pemula itu.

Selain itu, mereka turut mahukan prosiding saman pemula itu digantung sehingga permohonan mereka untuk membatalkannya diputuskan oleh Mahkamah Tinggi.

Ismail Sabri turut menyatakan, tindakan saman pemula itu merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah yang terselindung di sebalik motif politik dan cubaan menghalang tugas defendan ketiga menjalankan tugas-tugasnya berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang pilihan raya.



Sementara itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam afidavit sokongannya menyatakan, kuasa prerogatif YDPA dalam mengisytiharkan pembubaran Parlimen tidak boleh diadili (non justiciable) dan tidak boleh dipertikai di hadapan mahkamah.

Ujar beliau, defendan ketiga tertakluk kepada tugas keperlembagaan menurut Perkara 55(4) dan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan yang mana PRU-15 perlu diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh pembubaran.

“Sebarang cabaran terhadap perjalanan pilihan raya tidak boleh dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihan raya seperti mana yang diperuntukkan di bawah Perkara 118 Perlembagaan,” ujar Abdul Ghani.

Pada 11 Oktober lalu, penyandang Parlimen Klang, Charles Santiago selaku plaintif menfailkan saman pemula terhadap Ismail Sabri dan dua yang lain susulan pembubaran Parlimen pada 10 Oktober lalu.

Berdasarkan dokumen, plaintif memohon deklarasi bahawa permintaan Ismail Sabri kepada YDPA pada 9 Oktober lalu untuk pembubaran Parlimen ke-14 adalah menyalahi Perkara 40(1) dan (1A) Perlembagaan Persekutuan.

Ini kerana katanya, permintaan itu tidak dibuat berdasarkan nasihat atau kuasa am Jemaah Menteri dan menjadikannya terbatal serta tidak sah.

Bagaimanapun pada 14 Oktober lalu, Ismail Sabri dan dua yang lain memfailkan permohonan untuk membatalkan saman pemula tersebut atas alasan bahawa ia tidak mendedahkan kausa tindakan mahu pun kausa tindakan yang munasabah ke atas mereka.

Menurut dokumen yang diperoleh, defendan-defendan memohon supaya prosiding berkenaan digantung sehingga permohonan mereka untuk membatalkannya diputuskan Mahkamah Tinggi.

Ia kerana kuasa YDPA dalam membuat pengisytiharan pembubaran Parlimen ke-14 mengikut Perkara 55(2) dan Perkara 40(2)(b) tidak boleh diadili (non justiciable) dan tidak boleh dipertikaikan di mahkamah.

“Isu keesahan permintaan pembubaran Parlimen ke-14 oleh defendan Pertama kepada YDPA pada 9 Oktober lalu adalah bersifat akademik.

”Ini kerana YDPA telahpun memperkenankan permintaan tersebut di bawah Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) PP dan seterusnya membubarkan Parlimen.

“Pengisytiharan dan pembubaran Parlimen merupakan kuasa YDPA di bawah Perlembagaan Persekutuan yang mana yang mana badan kehakiman selaku penjaga kepada keadilan (guardian of justice) perlu memelihara prinsip keperlembagaan ini,” kata defendan-defendan.

© Utusan Online 

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker