Amaran buat WAGs England di Qatar
LONDON: WAGs (isteri dan teman wanita) pasukan England diberi amaran mengenai perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan untuk mengelak krisis pada Piala Dunia di Qatar bulan depan.
Pegawai pasukan Three Lions tidak mengambil mudah mengenai peraturan ketat di negara Teluk itu dan memberi amaran keras kepada kumpulan glamor itu: “Anda tidak berada di atas undang-undang.”
Mereka menyampaikan peraturan itu dalam satu perjumpaan rahsia.
WAGs yang dijangka berada di Qatar, seperti teman wanita Jack Grealish, Sasha Attwood, 26, diberitahu supaya “berpakaian sopan” di khalayak ramai dan di stadium.
Mereka tidak boleh minum arak atau mencarut di khalayak ramai, memainkan muzik yang kuat, menyanyi, menjerit atau bertindak “tidak wajar” semasa azan.
Membuang sampah merata-rata diharamkan di Qatar dan boleh dihukum denda sehingga £6,000 (kira-kira RM32,000) dan setahun penjara.
Mereka juga diberi amaran mengambil swafoto di luar bangunan kerajaan mungkin menyebabkan mereka dikenakan tindakan oleh polis.
Pada satu perjumpaan sebelum England seri 3-3 dengan Jerman bulan lalu, ketua FA menggesa: “Adalah penting untuk memahami anda dan suami/pasangan anda tidak berada di atas undang-undang di sana.
“Setiap arahan disediakan untuk melindungi diri anda dan pasangan/suami anda dalam sebarang kes penyelewengan. Denda dan pendakwaan adalah perkara biasa.”
England, diketuai oleh kapten Harry Kane, bermain aksi pembukaan mereka di Stadium Antarabangsa Khalifa di ibu negara Doha menentang Iran pada 21 November.
Pegawai FA bertekad untuk menekankan mengenai undang-undang dan adat tempatan terhadap WAGs.
“Mereka sudah diperjelaskan mengenai peraturan dan bertanggungjawab terhadap pemain dan keluarga mereka untuk memastikan mereka mengetahui undang-undang dan adat tempatan.
“Mereka tidak boleh dan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang kontroversi atau insiden yang sepatutnya boleh dielakkan menerusi perancangan yang baik.
“Adalah penting WAGs memahami Qatar bukan England dan akan melayan setiap orang sama rata tanpa mengira siapa mereka,” kata seorang sumber FA.
Minum alkohol di Qatar adalah haram. Gerak isyarat makian atau biadab juga boleh menyebabkan pelakunya dipenjara.
Wanita mesti menutup bahu mereka dan mengelak daripada memakai skirt pendek, menurut nasihat Pejabat Luar Negeri.
Seks tanpa nikah juga diharamkan.
AGENSI