Apple Dilapor Tangguh Rancangan Beli Cip Memori Daripada YMTC

Apple kini dilapor telah menangguhkan rancangan untuk menggunakan cip memori daripada syarikat China, Yangtze Memory Technologies Co (YMTC) dalam produknya, selepas Washington mengenakan kawalan eksport yang lebih ketat terhadap syarikat teknologi China.

Menurut Nikkei Asia, Apple pada asalnya merancang untuk menggunakan cip memori NAND daripada YMTC seawal tahun hadapan, dengan rancangan penggunaan cip YMTC untuk iPhone yang dijual di pasaran China. Syarikat itu juga dikatakan mempertimbang pembelian cip YMTC sehingga 40% daripada jumlah cip yang diperlukan untuk semua iPhone.

Sementara itu, penganalisis berpendapat YMTC adalah antara syarikat yang lebih kecil, yang menyediakan cip memori kepada Apple dan melihat perkara ini hanya sedikit atau mungkin langsung tidak menjejaskan Apple.



Bagaimanapun, implikasi yang lebih besar ialah ia mengehadkan Apple daripada berpotensi untuk mempelbagaikan lagi pangkalan pembekalnya.

Terdahulu, Amerika Syarikat baru-baru ini telah menyenaraikan pengeluar cip memori YMTC dan 30 entiti China lain ke dalam senarai syarikat “tidak disahkan”, yang tidak dapat diperiksa oleh pegawai AS.

Buat masa ini, pihak Apple dan YMTC masing-masing tidak memberikan sebarang komen berhubung isu berkenaan.

Reuters



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button