Beto Kusyairy tidak tersenarai barisan pelakon filem prekuel Mat Kilau
KUALA LUMPUR – Pelakon, Beto Kusyairy, 42 tahun, akur apabila namanya tidak tersenarai dalam barisan utama produksi prekuel filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan seperti diumumkan Penerbit Studio Kembara Sdn. Bhd, Abdul Rahman Mt Dali, baru-baru ini.
Beto berkata, dia tidak mempunyai hak untuk mengulas perkara itu, apatah lagi membantah pemilihan senarai pelakon kerana keputusan itu adalah milik mutlak penerbit.
“Kalau boleh, saya tidak mahu mengulas apa-apa mengenai perkara itu kerana tiada apa yang perlu diperkatakan. Semua itu terletak pada kehendak penerbit.
“Saya tidak mempunyai hak atau kuasa untuk menentukan siapa yang akan terlibat atau tidak. Keputusan bukan di tangan pelakon.
“Sebagai pelakon, kami hanya akan bekerja apabila sudah bersetuju menerima tawaran. Jika tiada tawaran, apa yang boleh kita lakukan?,” katanya ketika ditemui pada satu acara hiburan, baru-baru ini.
Beto yang memegang watak sebagai Wahid dalam filem arahan Syamsul Yusof itu berkata, dia tetap meneruskan kehidupan dan kerjaya seninya seperti biasa.
“Saya sudah ‘move on’ dan sedang fokus pada kerja atau projek lain. Tidak ada isu apa-apa pun. Apa yang boleh saya katakan, saya profesional dan buat kerja macam biasa.
“Jika selepas ini saya menerima tawaran lain dari Studio Kembara, saya akan terima jika bersesuaian. Jika tidak sesuai, kita ‘move on’.
“Sebelum menerima sesuatu tawaran, kita akan teliti skrip dan kandungan sesuatu karya terlebih dahulu,” katanya.
Ditanya apakah sudah dihubungi pihak Studio Kembara untuk pelawaan menunaikan umrah di Tanah Suci, Beto berkata, setakat ini belum menerima sebarang panggilan.
“Saya tidak tahu apa-apa dan belum dihubungi lagi. Memang saya tidak tahu mengenai perkara itu,” katanya.
Abdul Rahman Mt Dali sebelum ini, mengumumkan perancangannya untuk menghasilkan prekuel berkaitan filem epik tersebut tanpa penglibatan dua pelakon utamanya iaitu Datuk Adi Putra dan Beto.
Prekuel filem itu juga dikatakan tidak akan mendapat sentuhan Syamsul kerana produksi ingin memberi laluan kepada pengarah lain.
Pada pertemuan itu juga, Abdul Rahman mengumumkan bakal memberi imbuhan kepada tenaga produksi Mat Kilau bagi meraikan kejayaan filem tersebut yang mengaut kutipan RM97 juta, termasuk membawa pelakon menunaikan umrah pada bulan depan.
© Utusan Online