Kenapa ada hari mengundi ditetapkan hari Sabtu?
KUALA LUMPUR – Sabtu adalah hari yang paling ideal dan kondusif sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, kata bekas Ahli Tetap Jawatankuasa Reformasi Pilihan Raya (ERC) Dr G Manimaran.
Menurutnya, hari tersebut adalah hari di mana majoriti rakyat di segenap lapisan masyarakat dan di setiap pelusuk negara mempunyai lebih kelapangan untuk keluar mengundi dengan selesa.
Ia mengambil kira khususnya hari cuti hujung minggu yang berbeza di antara negeri-negeri di Malaysia, juga beberapa acara di pertengahan minggu yang sulit untuk diganggu.
“Lebih kurang 60 peratus pusat pengundian itu adalah di sekolah. Dan ada sekolah yang akan mengadakan peperiksaan percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada minggu yang dianggarkan, iaitu pada pertengahan November.
“Lagi satu, ada negeri yang cuti hujung minggunya pada Jumaat dan Sabtu. Maka, hari mengundi pada hari Sabtu itu adalah hari yang paling kondusif untuk semua pihak,” jelas beliau.
Sehubungan itu, tegas Manimaran, syor ini perlu diambil serius oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sekiranya ia benar-benar menjunjung tinggi prinsip demokrasi yang memerlukan keterlibatan rakyat seramai yang boleh.
Katanya, ini bukan PRU untuk SPR atau PRU untuk mana-mana parti politik, tetapi PRU untuk seluruh warganegara Malaysia.
Maka, katanya, semua pemegang taruh dan pihak bertanggungjawab harus bekerja bersama untuk memastikan proses demokrasi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.