PATI dan tekong sembunyi dalam ladang getah diberkas

KUALA LUMPUR – Seramai 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang bersembunyi di dalam semak kebun getah berhampiran sempadan Thailand diberkas tentera.

Kesemua PATI itu ditahan dalam operasi benteng di dua lokasi berbeza iaitu di Bukit Kayu Hitam dan Tanah Merah Kelantan oleh pasukan tentera Briged Keenam (KTJ 6 Briged) dan Kelapan (KTJ 8 Briged) Infantri Malaysia.

Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menerusi satu kenyataan hari ini berkata, kesemua PATI warga Myanmar itu cuba untuk menceroboh masuk ke dalam negara secara haram menerusi laluan yang tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand pada hari ini.

“Dalam kejadian di KTJ 6 Briged, pada 17 Oktober lalu pukul 3.15 petang, pasukan operasi yang melaksanakan rondaan telah mengesan dan menahan seramai sembilan orang yang bersembunyi di kawasan semak dalam kebun getah berhampiran laluan paip gas.

“Kemudiannya pada pukul 6.45 petang hari yang sama, pasukan operasi sekali lagi telah mengesan dan menahan sekumpulan individu yang terdiri daripada seramai empat orang dipercayai daripada kumpulan yang sama.

“Hasil pemeriksaan mendapati kesemuanya iaitu seramai 13 orang adalah PATI warga Myanmar yang tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah dan memasuki negara ini melalui laluan haram,” kata kenyataan yang sama.

Tambahnya, kesemua suspek adalah berusia lingkungan antara 18 hingga 40 tahun terdiri daripada 10 orang lelaki dan tiga wanita.

Dalam kejadian kedua, pada Isnin pukul 6.30 petang, pasukan operasi telah berjaya mengesan dan menahan sekumpulan individu di sempadan negara di Tanah Merah, Kelantan.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seramai enam orang adalah PATI warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah dan seorang adalah warga Malaysia yang disyaki sebagai tekong darat yang membawa masuk PATI berkenaan.

“Kesemua suspek yang ditahan itu adalah berumur antara 18 hingga 64 tahun terdiri daripada 7 lelaki dan pemeriksaan lanjut turut berjaya membawa kepada rampasan sebuah kenderaan, 11 buah telefon bimbit dan wang tunai dalam matawang Malaysia, Myanmar dan Thailand dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan RM 36,407.67.

“Kesemua PATI diserahkan kepada Balai Polis Bukit Kayu Hitam dan Balai Polis Nibong untuk tindakan lanjut berlunaskan undang-undang negara serta Jabatan Imigresen.

Pasukan beroperasi sentiasa mengawal sempadan negara daripada dicerobohi dan tidak akan berkompromi dengan sebarang cubaan aktiviti jenayah rentas sempadan.

© Malaysia Gazette

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker