SPRM tahan wanita bergelar Datuk kemuka dokumen palsu darjah kebesaran negeri

MELAKA: Pengurus syarikat pelancongan bergelar Datuk dan seorang kakitangan awam direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes mengemukakan dokumen palsu Surat Pengesahan Pengurniaan Darjah Kebesaran Negeri Melaka kepada Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka sekitar 2018.

Perintah reman terhadap kedua-dua suspek berusia 30-an dan 40-an itu dikeluarkan Majistret Nabihah Mohd Noor selepas dipohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi melengkapkan siasatan kes itu.

Difahamkan siasatan awal SPRM mendapati suspek wanita itu mengemukakan dokumen yang mempunyai butir matan palsu itu bagi tujuan mendaftarkan diri sebagai Ahli Majlis Datuk-Datuk Negeri Melaka kepada suspek kedua yang juga kakitangan kerajaan negeri.

Wanita itu ditahan kira-kira jam 8 malam, manakala suspek lelaki 15 minit kemudian ketika mereka hadir di Pejabat SPRM Melaka untuk memberi keterangan.



Sementara itu Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman denda lima kali nilai suapan atau RM10,000, mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun, jika disabitkan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker