TAPAUfest 2022 terokai keindahan alam semula jadi

KUALA LUMPUR: Festival indie Asia Tenggara, TAPAUfest 2022 bukan sahaja menampilkan kepelbagaian tarikan, malah kali ini, menggabungkan elemen alam semula jadi dan kesenian dengan memilih lokasi jauh kesesakan ibu kota.

Komuniti muzik indie Asia Tenggara bakal berkumpul dan beraksi, sambil menikmati alam semula jadi indah dan keunikan tersendiri di Lenggong, Perak selama dua hari iaitu pada 22 dan 23 Oktober ini.

TAPAUfest 2022 melangkaui kebiasaan festival muzik dengan mengajak peminat muzik berkelah dan berkhemah di Resort Tasik Raban, sambil menikmati persembahan barisan pemuzik indie terbaik di Asia Tenggara.

Dengan tasik dan gunung-ganang sebagai latar belakang, ia pasti menjadi pengalaman cukup istimewa.

Pengasas TAPAUfest, Ahmad Faris Abdul Hamid mempunyai visi yang jelas untuk TAPAUfest berkata, antara sebab festival muzik diadakan di Lenggong kerana mendambakan peluang meneroka alam semula jadi di Malaysia.

“Selepas satu dunia terkesan dengan pandemik COVID-19, peminat muzik tentunya mahukan lebih daripada sekadar konsert.

“Dengan tema #SerumpunBerpesta, TAPAUfest menghimpunkan 12 persembahan merentasi genre dan nuansa dari Malaysia, Indonesia dan Singapura selama dua hari.

“Hari pertama TAPAUfest 2022 menampilkan .Feast, Margasatwa, Abangsapau, Sweetass, The Pinholes dan Salammusik.

“Ia diteruskan dengan persembahan Kungfu Heidi, The DARE, The Filters, Sobs, The Times dan Hindia pada hari kedua,” katanya kepada BH Online.

Ahmad Faris berkata, dengan gandingan kugiran yang sudah dikenali dan artis baharu dalam ruangan alternatif, TAPAUfest bangga dapat membuka ruang penampilan pertama untuk barisan artis indie Indonesia seperti Hindia, The Dare dan .Feast.

“Artis indie dari Malaysia seperti Kungfu Heidi dan Serbuk Cheese menjanjikan kelainan dalam persembahan, selain pasti membuatkan peminat muzik indie terpukau dengan gabungan musikalisasi hip hop dan hardcore.

“Aksi pemuzik dari Singapura tidak kurang menariknya, daripada nostalgia pop yeh yeh, The Pinholes, rapper Sikh-Melayu, Abangsapau dengan keterampilan berkain pelikat dan indie pop, Sobs.

“Persembahan akan bermula jam 5 petang memberikan ruang dan masa untuk peminat meneroka pelbagai aktiviti dan tempat menarik di Lenggong.

“Jadi, tidak perlu tergesa-gesa memasang khemah kerana ini adalah peluang bersantai sambil menikmati TAPAUfest 2022,” katanya.

Tambahnya, dari jam 10 pagi sehingga 4 petang, pengunjung berpeluang menonton tayangan pembikin filem indie dan mengikuti perkongsian Bengkel & Layar, hasil kerjasama Kakiseni.

Selain itu, katanya, misi TAPAUfest untuk memartabatkan ekonomi dengan menyajikan makanan dan minuman mengikut cita rasa tempatan di warung.

“TAPAUfest juga bekerjasama dengan Kedai Serba Serbi untuk membawakan kelainan dengan terdapatnya pelbagai barangan, album fizikal seperti piring hitam, kaset dan cakera padat, selain karya seni daripada artis tempatan.

“Apabila membeli tiket konsert, nilai diperoleh bermula dari nota pertama persembahan sehingga artis indie turun daripada pentas.

“Nilai festival bukan terletak dalam persembahan muzik. Ia juga mengenai lokasi yang bakal mencipta memori baharu.

“Lenggong mempunyai keistimewaannya tersendiri sebagai tapak warisan UNESCO yang menempatkan satu rangka manusia purba paling lengkap di Asia Tenggara digelar sebagai Perak Man, kira-kira 11,000 tahun lalu.

“Keindahan tempat, keunikan suasana dan persembahan muzik hebat memberikan nilai tambah bukan sekadar konsert, malah bakal mengukir memori tidak dapat dilupakan,” katanya.

Ahmad Faris berkata, pihaknya menghargai semangat dan pembabitan Majlis Daerah Lenggong bagi menjayakan TAPAUfest 2022.

“TAPAUfest juga tidak mungkin wujud tanpa sokongan Agensi Pembangunan Ekonomi Budaya Malaysia (CENDANA) yang masih memberi kepercayaan terhadap komuniti indie sekali lagi.

“Terima kasih kepada Waka, Ipoh Social Club, Santuy Travellers, Kadiak, Versussika, PBUY, Outsiders Bike dan Anbot kerana mempercayai kami untuk memartabatkan Lenggong, seni, komuniti dan budaya indie Asia Tenggara,” katanya.

Tiket boleh dibeli dengan harga RM165 (solo sehari), RM320 (solo weekend) dan RM1,240 (geng weekend). Untuk maklumat boleh melayari www.TAPAUfest.asia.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker