Pilih BN Untuk Betulkan Kesilapan, Laksana Pembangunan Tertangguh

KUALA LUMPUR – Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15 yang dijangka akan diadakan dalam waktu terdekat bakal memberi peluang serta pilihan kepada rakyat di seluruh negara untuk menentukan kerajaan yang akan memimpin teraju kepimpinan selepas ini.

Serentak itu, Ketua Pemuda UMNO Johor yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Negeri, Mohd Hairi Mad Shah mengingatkan agar masing-masing yang berpeluang untuk membuat pilihan nanti memilih parti yang benar-benar mampu untuk menguruskan negara dan rakyat.

Katanya kini sudah mula kedengaran pelbagai ceramah dan juga pelbagai janji daripada parti-parti politik dalam usaha meyakinkan rakyat khususnya pengundi dengan tawaran masing-masing termasuklah janji-janji yang mustahil.

“Dah mula ceramah-ceramah dari parti-parti dikawasan masing-masing. Dengar boleh tapi fikir semula… ceramah menghasut dan janji-janji mustahil harus kita tolak… manisfesto bukan kitab suci. PH kata,” katanya menerusi catatan di Facebook.



Kata beliau lagi masing-masing boleh perbetulkan kesilapan lalu dengan membuat pilihan yang tepat demi kelangsungan kejayaan negara yang tergendala seketika sebelum ini setelah BN tewas pada PRU ke-14 yang lalu.

“Kita betulkan kesilapan dari kesilapan… insya-Allah penghujungnya nanti adalah untuk rakyat dan negara,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin turut menegaskan Pemuda BN Johor telah bersiap siaga untuk masuk ‘medan perang’ dan apa yang utama adalah untuk memastikan kestabilan bersama.

“Insya-Allah sebagaimana saya nyatakan sebelum ini, Pergerakan Pemuda bersiap siaga masuk ke ‘medan perang’ dan paling penting ini untuk memastikan keselarian, kestabilan dan kemakmuran masa depan.



“Dan Alhamdulillah semalam (Rabu) selesai Penaziran Pemuda UMNO Bahagian oleh Pemuda UMNO Malaysia bagi memastikan kesiapsiagaan parti di peringkat sayap Pergerakan Pemuda. Sebanyak tujuh bahagian terlibat semalam iaitu Johor Bahru, Pasir Gudang, Iskandar Puteri, Pulai, Kulai, Pontian & Tanjung Piai,” katanya.

UMNO Online

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker