Terima kasih rakyat Malaysia bantu bawa pulang Azhar

Sepang: “Kami sekeluarga bersyukur kepada Allah SWT (kerana) selepas mengharungi pelbagai masalah terutama dari segi kewangan, akhirnya dipermudahkan dapat membawa pulang abang ke Malaysia selepas hampir dua bulan terlantar di hospital Korea Selatan,” kata Norul Hanim Mohamad, 34.

Norul Hanim adalah adik kepada Azhar, 37, yang sebelum ini bertarung nyawa di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Chungbuk National University, Cheonjung, Korea Selatan akibat strok bahagian kanan badan pada 31 Ogos lalu.

Dia mengucapkan terima kasih kepada Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara (Malawakil) Seoul atas bantuan mempermudahkan urusan membawa pulang abangnya ke tanah air.



Katanya, dia juga terharu dan berterima kasih kepada Kerajaan Pahang dan seluruh rakyat Malaysia yang membantu menyalurkan bantuan bagi menyelesaikan sebahagian kos perbelanjaan rawatan hospital.

“Kesihatan abang semakin pulih selepas menjalani dua pembedahan dan akan terus menjalani rawatan serta pemantauan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan,” katanya ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Dia tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5.15 petang dengan pesawat MH67, ditemani dua ahli keluarga lain terdiri daripada kakaknya, Fazillah, 35, dan sepupu, Noradilawaty Zainol, 44.

Ketibaan mereka disambut Saifuddin bersama beberapa kakitangan Kementerian Luar.



Azhar yang menaiki kerusi roda kemudiannya dipindahkan ke sebuah ambulans untuk dibawa terus ke HTAA, Kuantan, bagi meneruskan rawatan.

Lelaki yang berasal dari Indera Mahkota, Pahang, itu ditemukan rakannya dalam keadaan separa sedar di rumah sewanya pada 31 Ogos lalu selepas diserang strok.

Dia yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Jincheon, Korea Selatan dan masih bujang kemudian dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Chungbuk National University, Cheonjung, Korea Selatan.

Norul Hanim berkata, detik hitam menimpa abangnya itu amat mengejutkan keluarga kerana lelaki itu tiada masalah kesihatan sebelum ini dan sudah menetap di Korea Selatan, hampir lima tahun lalu.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button