Pengarah, pengurus kolej didenda buat tuntutan palsu

Oleh – Syeikh Baran


Pengarah, pengurus kolej didenda buat tuntutan palsu
Gambar Hiasan

Seorang pengarah dan pengurus sebuah kolej didenda sebanyak RM180,000 selepas melakukan tuntutan palsu bernilai RM267,000.

Marsam Buhera, 51, mengaku bersalah atas 15 pertuduhan yang dibaca di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.



Mahkamah mendengar hasil keputusan representasi di mana pihak pendakwaan setuju menawarkan 15 pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan akan menjalani hukuman mengikut Seksyen 465 Kanun Keseksaan.

Tertuduh dikehendaki membayar denda sebanyak RM12,000 untuk setiap pertuduhan atau dipenjara empat bulan bagi setiap pertuduhan jika gagal berbuat demikian.

Pada tahun 2018, Marsam yang juga Pengarah Urusan Infoteguh Sdn. Bhd. yang memiliki Kolej Eastern, Kota Kinabalu, dengan curangnya telah menggunakan dokumen-dokumen palsu sebagai tulen untuk membuat tuntutan di dalam Program Operasi Rangkaian Komputer Kolej Eastern.

Sebelum ini, kes telah dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Kota Kinabalu pada 21 November 2023 untuk pertuduhan utama Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.



Pada tahun 2022, media melaporkan, mengikut pertuduhan, Marsam didakwa memperdayakan Timbalan Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Sabah yang berkepentingan terhadapnya berhubung kehadiran peserta kolej yang tidak menepati jumlah sebenar untuk menuntut elaun pelajar.

Marsam didakwa memberikan seorang ejen sebuah dokumen tuntutan yang mengandungi invois, senarai nama peserta, borang kehadiran peserta dan borang penerimaan elaun peserta Program Penyelia Pengurusan Pejabat Kolej Eastern bagi beberapa bulan pada 2018.

Peserta yang hadir juga didakwa tidak pernah menerima elaun membabitkan beberapa tuntutan yang dibuat oleh tertuduh.

Sumber – KOSMO! ONLINE



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button