Budak empat tahun didera bapa angkat
Ampang Jaya: Seorang lelaki tergamak mendera anak angkatnya berusia empat tahun hanya kerana membuang air besar di tilam dan tidak mahu makan di sebuah pangsapuri di daerah ini.
Kejadian itu turut disaksikan adik ipar lelaki terbabit yang tinggal bersama di rumah berkenaan sejak sebulan lalu sebelum melaporkan kepada polis semalam.
Suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan berusia 30 tahun itu dikatakan bertindak memukul kanak-kanak lelaki itu bermula bulan lalu dan terbaru dia melakukan perbuatan itu jam 7 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, wanita berusia 19 tahun yang juga adik ipar suspek pada mulanya bertengkar dengan kakaknya berpunca dia menegur mereka memarahi mangsa.
Menurutnya, wanita terbabit juga pernah melihat mangsa dipukul oleh suspek.
“Mangsa dijaga oleh kakak pengadu sejak berusia lima bulan yang diserah oleh seseorang yang tidak dikenali secara sukarela.
“Mangsa mengalami kecederaan di badan, kaki serta kesan luka di bahagian kemaluan dipercayai didera dengan menggunakan tangan oleh suspek. Mangsa kini mendapatkan rawatan di Hospital Ampang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohamad Farouk berkata, susulan itu pada jam 5 petang semalam, polis menahan suspek di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.
“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai kesalahan lampau dan ujian saringan air kencing negatif dadah.
“Suspek direman lima hari bermula hari ini hingga 25 Oktober ini,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001.
METRO