Syor siasat kaitan jual Equanimity

PETALING JAYA: Keputusan menerima tawaran AS$126 juta daripada Genting Malaysia Bhd bagi pembelian kapal layar mewah Equanimity dilihat dibuat ‘secara sepihak’ oleh Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas.

Ia terkandung dalam laporan pasukan petugas khas yang menyiasat memoir Tommy bertajuk “My Story: Justice in the Wilderness” berkata, bekas Peguam Negara itu “dengan segera menerima” tawaran Pengerusi Genting, Tan Sri Lim Kok Thay untuk kapal layar yang sebelum ini dimiliki ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Laporan itu berkata, perkara berkenaan dilakukan tanpa merujuk kepada pemilik sah kapal ketika itu, Kumpulan 1MDB dan pemegang saham utamanya, Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc).

“Tiada juga rujukan dibuat kepada Pusat Jenayah Kewangan Kebangsaan (NFCC), badan yang mengendalikan harta dirampas berhubung jenayah kewangan.

“Secara signifikan, penerimaan tawaran Genting itu tidak dibuat dengan syarat apabila diluluskan oleh Mahkamah Laksamana kerana ia penjualan kehakiman yang memerlukan pengesahan mahkamah itu.

“Berdasarkan apa yang tertulis, nampaknya penerimaan tawaran Genting sebanyak AS$126 juta itu ialah keputusan sepihak yang dibuat oleh Thomas sendiri,” kata pasukan petugas itu dalam laporannya.

Sehubungan itu, pasukan petugas berkenaan menggesa pihak berkuasa menyiasat sama ada Tommy, sebagai Peguam Negara, mempunyai kuasa untuk menerima tawaran Genting tanpa merujuk perkara itu kepada 1MDB dan MOF Inc untuk kelulusan, atau NFCC.

NFCC, katanya, ditubuhkan untuk menguruskan pengembalian aset 1MDB.

Laporan pasukan petugas itu mulai malam tadi boleh diakses orang awam melalui laman sesawang rasmi Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Orang ramai boleh mengakses laporan dalam bahasa Inggeris yang mengandungi 225 muka surat itu selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 13 Oktober lalu mengumumkan kerajaan menyahklasifikasikan dan akan mendedahkan laporan siasatan ke atas dakwaan dalam buku berkenaan.

Pihak berkuasa juga dicadangkan agar menyiasat jika terdapat kaitan antara penjualan Equanimity kepada Genting dengan penarikan balik permohonan semakan kehakiman terhadap Menteri Kewangan berhubung pembatalan insentif cukai bagi syarikat itu.

Pasukan petugas itu berkata, Genting sedang berusaha untuk membatalkan keputusan Menteri Kewangan (sebelum ini) yang memansuhkan insentif cukai dalam surat bertarikh 17 Disember 2014, dan deklarasi bahawa insentif itu hendaklah dikembalikan.

“Menteri kewangan, melalui Jabatan Peguam Negara menolak permohonan Genting dan telah menyediakan afidavit membangkang.

“Bagaimanapun, apabila penjualan Equanimity kepada Genting diluluskan oleh mahkamah, permohonan (semakan kehakiman) oleh Genting ditarik balik.

“(Sementara itu,) menteri kewangan dalam surat bertarikh 4 Julai 2019, bersetuju untuk mengembalikan keputusan asal menteri kewangan (sebelum ini), di mana insentif pelaburan boleh dituntut atas semua pendapatan Genting yang dinyatakan diperoleh daripada satu sumber.”

Pasukan petugas itu berkata, pengembalian semula insentif cukai kepada Genting akan mengakibatkan Putrajaya kehilangan hasil dan syarikat itu memperoleh keuntungan kewangan yang sepadan.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker