Polis kenal pasti 30 individu ganggu program MUDA

MUAR: Kira-kira 30 individu dikenalpasti terbabit dalam insiden provokasi pada program Malam Mesra Muo dan Pelancaran Jentera Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15) Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, berkata kekecohan dipercayai bermula apabila tetamu program diadakan di salah sebuah dewan di restoran di Jalan Bakri di sini, keluar dan bersemuka dengan kumpulan di luar, kira-kira jam 9.35 malam.

“Lebih kurang 30 orang memakai pelitup muka mula menjerit dan terdapat insiden membaling botol dan mercun. Polis Muar akan siasat ikut mana-mana undang-undang yang berkuat kuasa, termasuk Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012.

“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi dan menyebarkan maklumat yang tidak berasas melalui mana-mana platform komunikasi dan media sosial,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.



Sementara itu, Presiden MUDA yang juga penyandang kerusi Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata insiden itu tidak akan melemahkan semangatnya dan ahli parti berkenaan.

“Ini kali kedua di mana ada yang cuba mencetuskan provokasi, cuma kali ini saya rasa mereka lebih berani, buang mercun, baling barang, selepas itu pandu laju. Saya dengar ada tangkapan dilakukan polis.

“Saya ucapkan terima kasih kepada polis kerana cepat bertindak, tetapi mesej saya kepada anak-anak muda yang ingin mencetuskan provokasi di luar, ini negara kita bersama. Saya adakan majlis ini pun bukan untuk pecah-belahkan rakyat,” katanya.

Syed Saddiq juga berharap polis bertindak segera terhadap laporan yang dibuat, termasuk berhubung insiden sama sebelum ini di Parit Jawa.



“Ada kereta rosak, kemek, ini bukan jenaka, bukan perkara kecil. Di Muar ini, kita mahu situasi aman damai, berkempen secara sihat sebab itu komitmen saya. Walaupun berbeza pendapat dalam soal dasar dan prinsip, kita cintakan negara ini dan keamanan dalam negara ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan, Majlis Malam Mesra Muo dan pelancaran jentera PRU15 MUDA di Jalan Bakri di sini, diganggu insiden provokasi sekitar jam 9.40 malam tadi.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker