Agong, Raja Permaisuri berangkat ke Singapura bagi lawatan negara

SEPANG: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berangkat ke Singapura bagi memulakan lawatan negara sehingga Jumaat ini.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka berdua berlepas dari Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, pada kira-kira 9.45 pagi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan isteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin hadir untuk mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka berdua.



Turut hadir mengucapkan selamat berangkat kepada Seri Paduka berdua ialah Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah.

Sebelum berangkat, Seri Paduka berdua menerima tabik Hormat Diraja daripada Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja dengan diiringi tembakan meriam 21 das dan lagu Negaraku.

Keberangkatan Seri Paduka berdua akan diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin; Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak dan pegawai daripada Istana Negara, Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Luar.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata lawatan negara itu dijadualkan berlangsung pada September lepas tetapi ditangguhkan susulan lawatan khas Seri Paduka berdua ke London, United Kingdom pada 16 hingga 21 September lalu bagi menghadiri Istiadat Pemakaman Negara Ratu Elizabeth Il.



Dalam rangka lawatan ke Singapura, Ahmad Fadil berkata Seri Paduka berdua dijadual berangkat melawat National University of Singapore dan Edible Garden City pada sebelah petang hari ini.

Pada keesokannya, Seri Paduka berdua dijadual menerima menghadap Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Long dan isteri di Shangri-La Hotel Singapura, disusuli dengan majlis santapan tengah hari.

“Pertemuan ini adalah kali kedua antara kedua-dua pemimpin dengan pertemuan kali pertama ketika Seri Paduka berangkat menyaksikan Formula 1 Singapore Grand Prix 2022 pada 2 Oktober 2022, atas persilaan rasmi Lee.

“Pada 5 petang hari yang sama, Seri Paduka berdua dijadual berangkat ke Majlis Sambutan Negara di The Istana, Orchard Road,” katanya.



Ahmad Fadil berkata Seri Paduka berdua turut dijadualkan melakukan pertemuan dengan Presiden Singapura, Halimah Yacob, disusuli dengan Majlis Santapan Negara.

“Pertemuan ini juga merupakan yang kedua antara kedua-dua pemimpin. Pada 18 September 2022, Seri Paduka berkenan menerima menghadap Halimah di London, United Kingdom.

“Pada ketika itu, kedua-dua pemimpin berada di London, bagi menghadiri Istiadat Pemakaman Negara mendiang Baginda Ratu Elizabeth Il,” katanya.

Pada Khamis (27 Oktober), Al-Sultan Abdullah dijadual berangkat melawat loji NEWater, disusuli dengan lawatan ke Kem Latihan Komando di Pasir Ris manakala Raja Permaisuri Agong dijadual melawat, antaranya National Library dan National Museum of Singapore.



“Pada sebelah malam hari yang sama, Seri Paduka berdua dijadual berangkat ke majlis santapan malam dan pertemuan dengan diaspora Malaysia di Singapura.

“Seri Paduka berdua dijadual mengakhiri Lawatan Negara ini dan berangkat pulang ke tanah air pada 28 Oktober (Jumaat),” katanya.

Ahmad Fadil berkata lawatan negara itu mencerminkan hubungan dua hala yang rapat dan istimewa di antara Malaysia dan Singapura bermula sejak 57 tahun lalu.

Dari segi dagangan dua hala, dari Januari hingga Ogos 2022, jumlah dagangan Malaysia dengan Singapura ialah sebanyak AS$55.77 bilion, iaitu 12.9 peratus daripada jumlah keseluruhan dagangan Malaysia, menjadikan Singapura sebagai rakan dagangan kedua terbesar Malaysia selepas China.



Singapura adalah destinasi kedua terbesar eksport Malaysia selepas China dengan nilai AS$34.51 bilion. Singapura juga sumber kedua terbesar import Malaysia selepas China dengan nilai AS$21.26 bilion.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button