Gol kontroversi bayangi kemenangan West Ham

LONDON: Satu gol di setiap penghujung babak daripada Kurt Zouma dan Said Benrahma sudah cukup memberikan West Ham kemenangan 2-0 ke atas Bournemouth dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) di sini.

Bagaimanapun gol pertama Zouma sejak November 2021 dan penalti masa kecederaan Benrahma dipalit kontroversi.

Gol Zouma dibenarkan oleh video bantuan pengadil (VAR) walaupun jelas bola terkena tangan pertahanan Hammers, Thilo Kehrer, manakala Benrahma menyempurnakan penalti selepas VAR mendapati bola terkena pemain gantian Bournemouth, Jordan Zemura.



Ia adalah kemenangan kelima berturut-turut West Ham dalam semua pertandingan, dan mereka kini melonjak ke tangga ke-10 EPL buat pertama kali musim ini.

“Ia terkena tangan, itu adalah fakta. Dia tidak berniat memainkan bola. Jelas terkena tangan. Tangannya bergerak ke arah bola.

“Saya tidak terkejut kerana ia semakin mengarut. Sejak saya di sini, ada 10 ulang tayang VAR dan satu pun tidak berpihak kepada kami,” kata pengendali sementara Bournemouth, Gary O’Neil.

Bekas pemain tengah West Ham itu, yang mengambil alih pasukan selepas Scott Parker dipecat penghujung Ogos lalu, dilayangkan kad kuning kerana membantah keputusan pengadil.



Ketika permainan hampir tamat, hantaran lintang Vladimir Coufal terkena tangan Zemura ketika dia cuba menghalangnya.

Pengadil David Coote merujuk kepada VAR dan memberikan penalti yang kemudian disempurnakan Benrahma.

“Persembahan semakin baik tetapi masih banyak peluang tidak dimanfaatkan. Saya belum melihat gol pertama atau penalti itu lagi.

“Saya rasa persembahan kami lebih penting berbanding jaringan berkenaan,” kata pengendali West Ham, David Moyes.



AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button