Pemuda buntu ubati penyakit misteri, kudis penuh badan

MACHANG: Seorang pemuda menderita penyakit misteri sejak dua bulan lalu yang menyebabkan ‘kudis’ pada seluruh badan termasuk muka.

Keadaan itu menyebabkan Tuan Mohamad Hanif Tuan Yazid, 20, bukan sahaja sakit, gatal dan pedih, malah gelisah dam hanya mampu tidur selama dua jam pada waktu malam sejak dua bulan lalu.

“Pada awalnya, bintik-bintik merah hanya naik di belakang badan dan tidak lama kemudian menyerang bahagian muka dan seluruh anggota badan.



“Ia lebih menyakitkan apabila luka melepuh mengeluarkan air bisa. Ketika itu kulit jadi sangat gatal dan luka selepas digaru sehingga mengeluarkan darah dan bertukar jadi kudis bila kering,” katanya ketika ditemui di Kampung Pangkal Changgong, di sini.

Anak kedua daripada tiga beradik ini berkata, pada Ogos lalu, dia masuk bersendirian ke dalam kawasan semak di Kampung Belukar mencari cacing untuk dijadikan umpan memancing udang dan membuang air kecil sebelum meninggalkan kawasan hutan.

“Pada jam 10 pagi hari berkenaan, saya keluar memancing udang bersama tiga rakan di Sungai Belat, Kuantan. Kami dapat banyak udang besar dan selepas itu masing-masing pulang ke rumah.

“Pada sebelah petang jam 5, saya ambil beberapa udang yang dipancing untuk dimasak bersama mi segera. Dua jam selepas itu, bahagian belakang badan dipenuhi ruam dan gatal-gatal dan pada masa sama tangan juga berasa kebas,” katanya.



Bekas pelajar Pusat GiatMARA Kuantan ini, berkata bimbang dengan keadaan itu, pada sebelah malam, ibunya, Yusniza Mohd Zaidi, 41, membawanya mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.

“Namun doktor memaklumkan ia adalah disebabkan alahan dan hanya memberikan ubat tahan sakit. Seminggu kemudian, seluruh anggota badan termasuk bahagian muka dipenuhi ruam merah dan gatal-gatal serta dipenuhi kudis.

“Ketika itu, saya sekali lagi dibawa mendapatkan rawatan di hospital, namun doktor tetap tidak dapat mengesahkan penyakit yang dihidapi. Sejak itu, usaha mendapatkan rawatan moden dan tradisional dilakukan untuk mengubati masalah yang dihidapi,” katanya.

Katanya, dia sudah berjumpa lebih 10 pengamal perubatan Islam di sekitar Kuatan dan Kelantan, namun masih belum sembuh sepenuhnya malah menjadi semakin teruk.



Sementara itu, Yusniza berkata, sejak anaknya sakit, hampir keseluruhan wang gajinya digunakan untuk merawat penyakit misteri dihidapi dan sehingga kini sudah berhabis ribuan ringgit.

“Kini saya tidak lagi mampu untuk menampung kos perubatan anak kerana setiap kali berjumpa pengamal perubatan, saya perlu belanja antara RM100 hingga RM200,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah kilang kosmetik di Kuantan.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button