Verstappen sahkan kejuaraan Red Bull
AUSTIN, Amerika Syarikat: Juara dunia Max Verstappen meraih kejuaraan pengeluar untuk Red Bull selepas memenangi Grand Prix Amerika Syarikat.
24 jam selepas pengasas dan pemilik bersama Red Bull, Dieter Mateschitz meninggal dunia, pemandu 25 tahun dari Belanda itu memenangi perlumbaan ke-13 musim ini dan ke-33 dalam kariernya selepas bersaing sengit dengan pemandu Mercedes, Lewis Hamilton.
Perlumbaan di Circuit of Americas itu menyaksikan Verstappen melintasi garisan penamat 5.023 saat lebih pantas berbanding Hamilton, dengan Charles Leclerc di tempat ketiga untuk Ferrari dan seorang lagi pemandu Red Bull, Sergio Perez, keempat.
“Sudah tentu, ia hujung minggu yang sukar buat kami dan ini adalah untuk Dietrich di atas apa yang dilakukan untuk semua orang.
“Kami mempunyai peluang untuk memenangi ‘pengeluar’ di sini dan sudah tentu anda mahu melakukannya dengan bergaya dan saya rasa kami berjaya.
“Ia amat bermakna buat saya, kepada pasukan, kerana dia (Dietrich) sangat penting kepada seluruh pasukan,” kata Verstappen.
George Russell dari Mercedes menamatkan perlumbaan di tempat kelima, diikuti oleh Lando Norris dari McLaren, juara dunia dua kali, Fernando Alonso dari Alpine, juara empat kali Sebastian Vettel dari Aston Martin, Kevin Magnussen dari Haas dan Yuki Tsunoda dari Alpha Tauri.
“Saya sudah berusaha untuk kekal di depan, tetapi mereka lebih pantas. Strategi hebat, perlumbaan hebat oleh Red Bull – dan takziah kepada pasukan.
“Kami akan terus berusaha pada tiga perlumbaan seterusnya,” kata Hamilton.
AFP