Ceti Singapura buat onar lagi

Seremban: Ceti haram dari Singapura bertindak ganas apabila membakar rumah milik pasangan warga emas di sini, hari ini.

Kejadian kira-kira 2 pagi itu dipercayai berpunca daripada anak bongsu pasangan itu yang membuat pinjaman sejumlah wang daripada ‘along’ di negara seberang tambak berkenaan.

Abangnya yang mahu dikenali sebagai Wong, 44, berkata, ketika kejadian dia bersama ibu bapanya sedang tidur di kediaman berkenaan sebelum kakak sulung yang tinggal di sebelah rumah menghubungi ibu memaklumkan berlaku kebakaran di depan rumah.



“Ibu kemudian turun untuk melihat keadaan sebelum mendapati kereta Mercedes milik bapa terbakar.

“Tanpa berlengah, saya bergegas mengalih sebuah lagi kereta Toyota Vios, bagaimanapun kereta itu terbakar di bahagian lampu kiri belakang manakala kereta Mercedes musnah sepenuhnya.

“Kami bernasib baik kerana jiran terlebih dahulu menghubungi bomba,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Wong berkata, selepas menonton rakaman kamera litar tertutup (CCTV) didapati terdapat dua lelaki yang menampal nota amaran dengan nombor telefon Singapura sebelum mencurahkan petrol ke rumahnya dan menyalakan api.



“Mereka mencurahkan petrol menggunakan baldi dari luar pagar sebelum dilihat cuba menyalakan api, namun tidak berjaya.

Mereka beredar dan tidak lama kemudian, dua lelaki sama kembali dan mengulangi perbuatan sama, tetapi kali ini api menyala.

“Malah, daripada rakaman itu juga, kami dapat lihat seorang daripada lelaki terbabit merakam kejadian menggunakan telefon bimbit.

“Mereka sangat berani melakukan jenayah, malah turut merekodkan bukti jenayah,” katanya.



Sementara itu, ibunya, Chee Ah Lin, 71, berkata, ini kali pertama kejadian seumpama itu berlaku sejak mendiami rumah berkenaan 20 tahun lalu.

“Anak bongsu saya bekerja di Singapura kira-kira lima tahun lalu dan saya tidak tahu jumlah sebenar wang yang dipinjamnya, namun difahamkan dia sudah membayar sebanyak SGD10,000 (RM33,400).

“Kami cuba menghubungi anak bagi mengetahui keadaan sebenar, namun dia gagal dihubungi sejak pagi tadi. Kami juga risau jika dia diapa-apakan.

“Buat masa ini kami masih tinggal di sini, namun takut sekiranya kejadian sama berulang.



“Setakat ini kami belum membuat laporan kerana mahu menyelesaikan siasatan forensik dengan pihak bomba terlebih dahulu,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button