Haaland ikut jejak langkah Grealish jadi model



MANCHESTER: Bintang Manchester City, Erling Haaland mengikut jejak langkah rakan sepasukannya Jack Grealish apabila memulakan karier sebagai peragawan.

Penyerang berusia 22 tahun itu dilihat memperagakan jam tangan Breitling bernilai £4,700 (kira-kira RM25,000) ketika dia diumumkan sebagai wajah terbaharu jenama itu.

Haaland, yang mengaku seorang peminat tegar jam tangan, bersedia untuk membantu promosi terbaharu syarikat itu akhir bulan ini ketika namanya semakin memuncak di dalam mahupun di luar padang.

Bercakap mengenai kaitannya dengan Breitling, Haaland berkata: “Saya seorang yang gila dengan jam tangan, jadi saya sudah pun menjadi peminat tegar jenama itu.



“Jika anda mengetahui mengenai gaya saya, anda sedar saya sentiasa mahu kelihatan bersih tidak kira sama ada saya berada di khalayak mahupun ketika bersendirian.

“Breitling yang saya wakili memang secocok: jam tangan yang sesuai untuk semua yang saya lakukan. Saya tidak sabar untuk memperkenalkannya minggu depan dan juga memakainya sendiri.”

Perjalanan Haaland untuk menjadi model hadir hanya beberapa bulan selepas Grealish menandatangani perjanjian bernilai £1 juta (RM5.3 juta) dengan jenama Gucci.

Penyerang Norway itu menyertai bintang NBA, Giannis Antetokounmpo, atlet snowboard Chloe Kim dan pemain American football, Trevor Lawrence dalam mempromosikan barangan jenama Breitling.



Haaland membeli dan menghadiahkan setiap pemain skuad Borussia Dortmund seutas jam tangan sebelum meninggalkan kelab Jerman itu pada hujung musim lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Breitling Georges Kern berkata: “Erling Haaland adalah apa yang kami cari untuk mempromosikan jenama kami.

“Dia seorang pemain yang hebat, memiliki karakter yang menakjubkan dan sering kali merendah diri. Erling adalah penjelmaan mutlak kemewahan kasual dan inklusif Breitling.”

Haaland sudah menjaringkan 22 gol dalam hanya 15 perlawanan bersama Manchester City.



Dia diramal mampu memecahkan rekod gol terbanyak dalam satu kempen Liga Perdana Inggeris yang kini dipegang bersama Alan Shearer dan Andy Cole dengan 34 gol.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker