Penapis air di kondominium Siti Bainun tidak rosak
KUALA LUMPUR: Pegawai penyiasat kes penderaan dan pengabaian remaja Sindrom Down dikenali dengan Bella, mengesahkan bahawa penapis air di kondominium pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Abd Razali di Wangsa Maju, tidak rosak.
Asisten Superitendan Rohaini Baharom daripada Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL) yang memberikan keterangan di Mahkamah Sesyen hari ini, berkata kesimpulan itu dibuat berdasarkan e-mel diterimanya daripada ketua eksekutif sumber manusia syarikat penapis air itu pada 11 November 2021.
Keterangan saksi ke-20 pendakwaan itu menyanggah cadangan peguam bela Siti Bainun sebelum ini bahawa Bella dipancut dan dicurah air panas adalah rekaan semata-mata kerana penapis air di rumah anak guamnya rosak sejak Mac 2021.
Peguam itu berkata, sedangkan remaja itu didakwa didera di antara Februari dan Jun 2021.
Peguam Nur A’minahtul Mardiah membuat cadangan itu ketika menyoal balas saksi kelima pendakwaan, Yasmin Nahar Mahmood yang juga penghuni Rumah Bonda ketika itu.
Yasmin dalam keterangannya memberitahu mahkamah sebelum ini, Siti Bainun menyuruhnya menyimbah air panas yang diambilnya daripada mesin penapis air ke atas Bella sebanyak tiga kali seminggu menggunakan cawan plastik yang tidak bertangkai berwarna kuning dan picagari.
Sementara itu, Rohaini berkata, siasatan lanjut ke atas dokumen yang diterimanya, mendapati rekod penyelenggaran bagi tahun 2021 tidak menunjukkan terdapat sebarang kerosakan pada mesin penapis air yang didaftarkan atas nama tertuduh.
Saksi itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad pada sesi pemeriksaan semula.
Terdahulu, Rohaini tidak bersetuju dengan cadangan peguam bela, Nurul Hafidzah Hassan bahawa tiada tandatangan Siti Bainun pada dokumen penyelenggaran mesin penapis air terbabit.
Bagaimanapun, katanya beliau tidak pasti bahawa tandatangan dengan huruf ‘M’ itu sebenarnya milik tertuduh.
Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung lagi petang ini.
BHOnline