Ronaldo kembali berlatih bersama pasukan
LONDON: Cristiano Ronaldo kembali berlatih bersama Manchester United semalam – selepas berbincang dengan Erik ten Hag.
Bintang Portugal itu diketepikan daripada skuad Red Devils selepas seri 1-1 di Chelsea Sabtu lalu.
Ia hadir selepas pemain berusia 37 tahun itu enggan masuk dari bangku simpanan ketika berdepan Tottenham minggu lalu.
Dia kemudian terus ke terowong pemain sebelum tamat perlawanan berkesudahan menang 2-0 itu.
Ten Hag memaksa Ronaldo berlatih sendirian sebelum melarangnya menyertai perlawanan di Stamford Bridge.
Dia juga dikenakan denda kira-kira dua minggu gaji atau hingga £720,000 (RM3.9 juta) kerana menunjukkan tindakan tidak berdisiplin.
Dia tiba di pusat latihan United dekat Carrington pagi semalam dan berdepan pengurusnya serta keseluruhan skuad yang diberikan cuti pada Isnin.
Pemenang lima kali Ballon d’Or itu dilihat kembali beraksi dengan pasukan utama – bersama Harry Maguire, Aaron Wan-Bissaka dan Donny van de Beek – ketika mereka bersedia untuk aksi Liga Europa awal pagi Jumaat ini menentang Sheriff Tiraspol.
SunSport difahamkan dia boleh diketepikan bagi pertembungan dengan Sheriff jika dia tidak menyesali tindakannya – namun dengan menyertai sesi latihan, ia menunjukkan peanda baik dia bersedia bagi merebut kembali tempatnya.
Menurut laporan, Ronaldo dan Ten Hag sudah banyak kali berbincang sejak beberapa hari lalu.
Ten Hag percaya Ronaldo sudah menerima hukuman dan dia mahu meneruskan khidmat dengan keseluruhan pasukan ke arah yang sama.
AGENSI