Al-Sultan Abdullah berkenan lawat Kem Pasir Ris

SINGAPURA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan melawat Kem Pasir Ris di sini, pada hari ketiga lawatan negara Seri Paduka ke Singapura.

Keberangkatan tiba Seri Paduka ke kem latihan komando itu pada kira-kira jam 11.45 pagi disambut Menteri Pertahanan Singapura, Dr Ng Eng Hen dan Panglima Tentera Darat Singapura, Brig Jen David Neo.

Sejurus keberangkatan tiba, baginda diberikan tabik hormat diraja daripada kawalan kehormatan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), disusuli pemeriksaan perbarisan tentera dengan diiringi Eng Hen.



Semasa di kem itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menyaksikan demonstrasi pasukan antikeganasan dalam misi menyelamatkan mangsa serta turut menembak peluru latihan ke atas sasaran pengganas simulasi.

Seri Paduka kemudian dipersembahkan dengan demonstrasi terjun bebas pasukan Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF) di Airborne-Trooper Training Facility (ATF) dan kemudian menaiki satu daripada aset RSAF, helikopter Chinook (CH-47F) selama kira-kira setengah jam.

Delegasi Malaysia yang hadir, antaranya Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin selaku Pegawai Pengiring dan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.

Yang turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Singapura, Datuk Dr Azfar Mohamad Mustafar dan Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopalan Menon.



Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di Singapura pada Selasa lalu sempena lawatan negara ke republik berkenaan yang berakhir esok.

Lawatan negara itu mencerminkan hubungan dua hala rapat serta istimewa di antara Malaysia dan Singapura bermula sejak 57 tahun lalu.

Yang di-Pertuan Agong turut berkenan melawat Pusat Pelawat NEWater (NVC) hari ini, dengan keberangkatan Seri Paduka disambut oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran Singapura, Grace Fu.

Al-Sultan Abdullah yang berada di fasiliti itu lebih setengah jam bermula 9.30 pagi, diberikan taklimat berhubung kaedah pemprosesan rawatan air dengan mengitar semula air yang sudah digunakan dan dibekalkan kepada rakyat Singapura, terutama sektor perindustrian.



NVC ialah hab pendidikan yang menggalakkan kelestarian air di Singapura dan berkongsi cara penghasilan bekalan air di NEWater, dengan menawarkan lawatan interaktif serta bengkel pendidikan kepada pengunjung.

Hab itu diselia Lembaga Kemudahan Awam (PUB), badan berkanun di bawah Kemampanan dan Sekitaran Singapura. PUB adalah agensi yang menguruskan bekalan air, tadahan air, dan air terpakai secara bersepadu di Singapura.

Malam ini, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah dijadual berangkat ke Majlis Santapan Malam bersama diaspora Malaysia di Hotel Shangri-La.

BERNAMA



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button